Home »
» MIC Samy punya...
MIC Samy punya...
Written By canang on Isnin, 24 Mei 2010 | 5/24/2010 07:00:00 PG
Sekali lagi isu kedudukan Samy Vellu sebagai Presiden MIC menjadi panas. Lagi suara dalam parti mahu beliau segera berundur. Terbaru, Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan menggesa beliau melepaskan jawatan. Berdasarkan laporan media, dua ahli jawatankuasa kerja pusat, G. Kumar dan K.P Samy menyokong kenyataan Mugilan.
Seperti yang dijangka, Mugilan kemudian dipecat. Sebelum itu, Ketua Bahagian MIC Petaling Jaya Selatan, V. Subramaniam yang lebih dikenali sebagai Barat Maniam turut disingkirkan kerana mengkritik Samy.
Semua orang tahu, Samy tetap Samy. Tiada siapa yang boleh mempersoalkan beliau. Jika ada pemimpin dan ahli MIC berbuat demikian, orang itu tidak akan bertahan lama, pasti dipecat atau ada sahaja tindakan yang dikenakan.
Awang tidak faham mengapa sukar sangat untuk Samy berundur segera. Awal minggu ini, beliau mengumumkan akan melepaskan jawatan yang disandang sejak 1979 dalam tempoh 'lapan atau sembilan bulan' sebelum penggalnya sekarang tamat pada Mei 2012.
Beliau memberikan alasan untuk melakukan transformasi dan rombakan dalam parti termasuk di peringkat cawangan terlebih dahulu, sebelum melepaskan jawatan kepada pengganti. Siapa yang bakal menggantikannya juga tidak disebut pada pengumumannya itu. Ia mencetuskan persoalan apakah Timbalan Presiden, G. Palanivel mungkin bukan pilihan Samy?
Persoalan lebih besar di kalangan masyarakat India khususnya ahli MIC apakah muslihat beliau untuk kekal lebih lama di sebalik sentimen kuat menolak kepimpinannya. Ada yang menjangkakan Samy mahu memperkukuhkan kedudukannya bagi bangkit kembali dengan mengharapkan 'satu lagi nyawa politik'.
Ada pula cakap-cakap dalam MIC yang melihat beliau mahu memastikan semua kroni termasuk anaknya mendapat kedudukan terbaik dalam parti sebelum berundur agar segala liabilitinya kepada parti tidak dibongkar kemudian hari.
Kini Samy menjaja hujah kononnya MIC di bawah teraju beliau makin relevan antaranya kerana memenangi Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang dan Hulu Selangor. Samy sengaja lupa bahawa kemenangan itu bukan kerana faktor beliau, ia adalah atas sokongan pengundi semua kaum termasuk kaum India kepada BN dan kepimpinan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak. Pada Awang, sekarang adalah masa terbaik untuk beliau berundur. Transformasi dan apa sahaja pembaharuan tidak akan membawa makna selagi beliau kekal. MIC tidak ketandusan pemimpin pelapis. Berilah kepercayaan kepada mereka. Janganlah bergayut terlalu lama dengan jawatan dan kedudukan.
Dalam kita menghargai sumbangan beliau, kita juga tidak boleh membenarkan pemimpin seperti Samy terus menjadi liabiliti kepada BN. Ia hanya memberi isyarat yang salah kepada rakyat. Bukan Awang tidak sukakan Samy tetapi Awang lebih sayangkan BN dan MIC.
Seperti kata Barat Maniam, MIC bukan milik Samy atau keluarganya. Namun Samy laksana panglima perang memberi kata dua mahu 'memusnahkan' mereka yang kononnya memusnahkan parti sebelum beliau bersara.
Awang hanya senyum sambil tertanya-tanya siapa sebenarnya yang sedang memusnahkan MIC kalau bukan beliau sendiri.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan