NAMANYA Rosa, persis nama penyanyi popular dari Indonesia. Usianya pula baru lapan bulan. Namun kecantikan dan keunikannya dengan ciri-ciri seperti badan panjang, ekor panjang dan kembang serta mata bundar melayakkan ia dinobatkan juara keseluruhan selepas mengatasi lebih 200 pesaing.
Rosa atau nama penuhnya Forestwood Urai Cosmos Rosa adalah kucing betina jenis pedigree milik Nurzainin yang muncul juara keseluruhan dalam Pertandingan Kucing Antarabangsa anjuran Persatuan Peminat Kucing Malaysia (MCFA) di Sunway Piramid, Subang Jaya, minggu lalu.
Kejayaan itu juga melayakkan Nurzainin memenangi wang tunai RM1,000 serta pelbagai barangan keperluan kucing.
“Memang hadiah wang tunai itu tidak seberapa, namun bagi peminat kucing seperti saya bukan wang atau ganjaran kemenangan yang menjadi buruan kami, sebaliknya takhta juara itu yang sungguh bermakna. Tambahan pula ini kemenangan pertama kucing peliharaan saya,” katanya.
Nurzainin berkata, dia tak menyangka kucing peliharaannya akan muncul pemenang keseluruhan kerana menyertai pertandingan itu sekadar mengisi masa lapang.
“Saya tak sangka akan jadi pemenang sebab persaingan memang hebat. Tambahan pula peserta dari seluruh negara yang datang dengan pelbagai jenis kucing,” katanya yang membelanjakan kira-kira RM2,500 sebulan untuk penjagaan 60 kucing peliharaannya.
Ditanya lebih lanjut mengenai keistimewaan Rosa, Nurzainin berkata, kucing itu jenis ‘maine coon’ yang terkenal sebagai spesies kucing terbesar dunia dan juri mengambil kira tumbesaran haiwan itu selain beberapa ciri fizikal.
“Rosa memiliki hidung dan dahi menarik serta ada lengkuk istimewa di lehernya. Selain itu telinganya yang besar, tinggi dan tegak turut menarik perhatian juri, selain tangan dan kaki yang tagap serta bulu bawah perutnya yang sederhana, tidak terlalu panjang atau pendek,” katanya.
Nurzainin berkata, dia mengambil berat mengenai pemakanan kucing peliharaannya untuk memastikan kesihatan mereka sentiasa pada tahap terbaik.
“Saya hanya beri makanan terbaik seperti daging mentah dan membuat pemeriksaan kesihatan setiap tiga bulan sekali. Saya akan terus memelihara kucing sebanyak mungkin selagi termampu kerana ia terapi terbaik untuk menghilangkan tekanan,” katanya yang mengupah dua pembantu khas bagi menjaga kucing peliharaannya.
Pertandingan kucing anjuran MCFA itu kali kedua diadakan selepas kali pertama di Pasar Raya Mydin, USJ Subang Jaya pada 13 Disember tahun lalu.
Empat pakar kucing dari Jepun, Denmark dan Austria yang mewakili Persatuan Kucing Antarabangsa (TICA) turut dijemput untuk mengadili pertandingan itu.
Presiden MCFA, Ismail Mohd Ali, berkata sambutan menggalakkan daripada peminat kucing membolehkan pertandingan diadakan untuk kali kedua walaupun baru sembilan bulan penubuhan kelab berkenaan.
“Sehingga kini ahli persatuan melebihi 1,000 orang dari seluruh negara. Kita turut mengalu-alukan sumbangan melalui jualan amal seperti buku, rantai kunci, pen, kemeja-T dan pelekat kenderaan,” katanya.
Pada pertandingan itu dua kategori kucing dipertandingkan iaitu ‘pedigree’ dan kucing persendirian. Pedigree adalah kucing asal yang tiada campuran dengan baka kucing lain dan mempunyai sijil kelahiran.
Kucing persendirian pula dibahagi kepada tiga kategori iaitu anak kucing, dewasa dan neuter iaitu kucing yang dimandulkan.
Kucing tertua milik warga emas Salbiah Hussin, 63, yang diberi nama Baby Rommy atau panggilan manjanya Baby berusia 17 tahun manarik perhatian ramai biarpun tidak memenangi sebarang kategori.
Dia yang membela kucing itu sejak kecil berkata, tiada rahsia khas membolehkan kucingnya menjangkau hayat hingga usia berkenaan kerana kebiasaannya jangka hayat seekor kucing biasa hanya mampu bertahan hingga 10 tahun.
“Saya hanya beri makan daging ayam dan ikan bilis rebus. Selain itu paling penting ialah kasih sayang dan layanan terhadapnya.
“Kucing juga mahu layanan seperti manusia dan faham arahan yang kita beri,” katanya yang mempunyai enam ekor kucing lain di rumahnya.
Selain kucing biasa yang mempunyai bulu, ada juga spesies kucing tidak berbulu kepunyaan Muzaffar Kaisar Ishak, 37, yang diberi nama Digger Anawa.
Selain memelihara, dia turut mengeksport anak kucing peliharaannya ke negara Eropah lantaran permintaan tinggi daripada peminat kucing di sana.
“Baka kucing yang bagus menyebabkan mereka tidak kisah membelanjakan sejumlah wang asalkan hasil diperoleh memuaskan hati.
“Semua maklum orang Barat sangat menyayangi haiwan peliharaan mereka, sama ada anjing mahupun kucing,” katanya.
Sebanyak empat pusingan dipertandingkan untuk mencari pemenang bagi kategori Champion, Grand Champion dan Supreme Grand Champion.
Pemenang dipilih berdasarkan keadaan fizikal kucing seperti telinga, kaki, panjang badan dan ekor manakala setiap markah diperoleh pula akan dihantar ke Texas, Amerika Syarikat untuk dikumpul bagi melayakkannya menyertai pertandingan kucing peringkat antarabangsa.
Home »
» Rosa beri kepuasan
Rosa beri kepuasan
Written By canang on Ahad, 9 Mei 2010 | 5/09/2010 11:59:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan