Home » » Tiga Pelajar Ditahan Berhubung Kehilangan 18 Buah Motosikal Sekitar Ampang

Tiga Pelajar Ditahan Berhubung Kehilangan 18 Buah Motosikal Sekitar Ampang

Written By canang on Isnin, 24 Mei 2010 | 5/24/2010 02:00:00 PG

KUALA LUMPUR, 23 Mei -- Polis menahan sekumpulan tiga pelajar lelaki kerana disyaki terbabit dalam kes kecurian 18 buah motosikal di sekitar Ampang di sini sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abdul Jalil Hassan berkata suspek yang berumur antara 14 dan 15 tahun itu ditahan dalam tiga tangkapan, semalam.

"Suspek pertama ditahan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR 2) apabila kita mendapati dia menunggang sebuah motosikal berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 5 petang.

"Hasil pemeriksaan ke atas motosikal itu, polis mendapati nombor pendaftaran motosikal berkenaan adalah palsu dan dilaporkan hilang di Kampung Cheras Baru dua bulan lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis dialog antara Polis dan Rukun Tertangga Penduduk Pandan Indah Fasa 4, pada hari Ahad.

Katanya, susulan daripada penahanan itu, polis kemudian menahan seorang lagi rakan suspek di Pangsapuri Nusa, Taman Bukit Pandan, Pandan Indah.

"Selepas suspek pertama, kita berjaya menahan seorang lagi suspek bersama sebuah motosikal Honda EX5 berwarna hitam yang diletakkan di tempat parkir motosikal di bawah pangsapuri itu yang mana motosikal itu telah dilaporkan hilang di kawasan berkenaan semalam," katanya.

Abdul Jalil berkata, soal siasat ke atas suspek seterusnya membawa kepada penahanan seorang lagi rakan suspek di sebuah rumah di Kampung Cheras Baru.

Beliau berkata, suspek pertama mengaku terlibat dalam dua kes curi motosikal, suspek kedua pula mengaku mencuri 10 buah motosikal dan pernah ditangkap atas kesalahan mencuri motosikal di Ampang manakala suspek ketiga mengaku telah mencuri enam buah motosikal.

"Siasatan awal mendapati kumpulan pelajar itu mencuri motosikal bagi kegunaan sendiri selain menjual komponen motosikal itu bagi mendapatkan duit poket," katanya.

Polis percaya ada beberapa pelajar lagi terbabit dalam kegiatan itu dan usaha mengesan mereka sedang dilakukan, katanya.

Kesemua suspek akan ditahan reman esok.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata statistik kes jenayah di Ampang bagi tempoh 1 Januari sehingga 22 Mei tahun lepas mencatatkan sebanyak 3,034 berbanding tempoh yang sama tahun ini iaitu merekodkan sebanyak 2,715 kes.

"Ini menunjukkan penurunan indeks jenayah sebanyak 11 peratus. Faktor pendorong kepada penurunan indeks ini berikutan kerjasama yang terjalin dikalangan penduduk. Kita berharap kerjasama ini dapat diteruskan terutamanya di setiap kawasan Rukun
Tetangga agar kegiatan jenayah bukan sahaja dapat dikurangkan malah dapat dibendung,
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger