Anne Ngasri pasrah hadapi kemelut rumah tangganya dengan Abdul Wafi Hassan
KEMELUT rumah tangga yang dibinanya sejak lima tahun lalu masih belum menampakkan titik noktah. Hanya selepas 14 Jun depan, barulah kes pengesahan lafaz cerai membabitkan dramatis Nasriah Ngasri dan suaminya Abdul Wafi Hassan, di sebut semula. Barangkali bagi sesetengah wanita, berdepan dengan masalah perceraian adalah suatu hakikat yang amat sukar untuk ditelan.
Apatah lagi apabila mengenangkan nasib anak-anak yang masih belum mengerti apa yang berlaku, tentunya hati menjadi gundah terutama apabila memikirkan apakah yang akan berlaku ke atas mereka pada masa hadapan. Namun, bagi wanita ini, jiwanya masih kental dan kebal menghadapi dugaan ini. Tiada keluhan yang kedengaran Malah, sedikit pun riak wajahnya tidak menunjukkan yang dia susah hati atas apa yang terjadi.
Sebaliknya ketika ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta produk penjagaan kulit Aleema yang diadakan di Salun Kecantikan ALC yang terletak di Wangsa Maju, petang Sabtu lalu, Ngasriah atau lebih dikenali dengan panggilan Anne kelihatan cukup tenang berdepan dengan sekumpulan media yang mendambakan cerita keretakan rumah tangganya itu.
Biarpun masih belum ada kata putus mengenai soal perceraiannya itu, namun bagi ibu kepada dua cahaya mata lelaki ini, jika itulah yang ditakdirkan, dia menerima segala ketentuan Tuhan itu dengan hati yang terbuka.
Tak perlu menuding jari kepada sesiapa kerana keputusan yang diambil itu adalah persetujuan bersama. Biarpun menyedari tanggungjawab dan pahit getir apabila bergelar janda, namun Anne tetap tabah mengharungi cabaran dengan penuh cekal sambil mengharapkan dapat melakukan yang terbaik demi sebuah kebahagiaan yang diharapkan.
Hip: Mungkin Anne boleh ceritakan sikit status Anne sekarang?
Anne: Buat masa ini, mahkamah belum lagi memutuskan soal pengesahan perceraian saya. Pengesahan lafaz cerai itu hanya akan disebut di Mahkamah Syariah pada 14 Jun depan. Apapun yang akan diputuskan oleh mahkamah, saya terima dengan hati yang reda. Dan andai perceraian yang berlaku, saya akur dengan ketentuan itu. Sedikit pun saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku. Mungkin sudah tertulis bahawa jodoh saya dan suami, hanya setakat ini.
Hip: Tapi mengapa perceraian itu boleh berlaku sedangkan ramai yang melihat anda berdua pasangan bahagia?
Anne: Rasanya tak perlu untuk saya mendedahkan punca sebenar perpisahan ini. Saya ada banyak hati yang perlu dijaga, keluarga saya dan juga keluarga di sebelah suami. Jadi, biarlah apa yang berlaku, kami simpan di dalam hati. Anggap saja perpisahan ini disebabkan jodoh saya dengannya sudah berakhir. Tak perlu nak menuding jari, siapa salah dan siapa benar. Tak perlu nak burukkan sesiapa dalam hal ini kerana pada saya, kedua-duanya ada melakukan kesilapan. Lagi pun, kami berdua tidak mahu bergaduh hanya kerana perpisahan ini. Kasihan anak-anak kami nanti.
Hip: Bagaimana pula apabila ada yang mengatakan punca keretakan rumah tangga Anne adalah disebabkan orang ketiga dan Anne sendiri menjadi mangsa keganasan suami?
Anne: Saya enggan mengulas perkara itu.
Hip: Anne kelihatan tenang. Apakah Anne sebenarnya gembira dengan perceraian ini?
Anne: Untuk apa saya meratap hiba? Jika perceraian itu adalah jalan sebaik-baiknya, saya pasrah dan terima dengan hati yang terbuka. Apa yang lebih penting, saya ingin membesarkan anak-anak saya dengan sempurna. Seperti sekarang ini, saya sedang hamil empat bulan. Tidak elok rasanya untuk saya terus makan hati dengan apa yang berlaku. Tidak bagus untuk kesihatan bayi di dalam kandungan. Insya-Allah, apabila kita reda dengan apa yang berlaku, Tuhan akan bukakan jalan untuk kita. Saya anggap ini semua dugaan Tuhan untuk menguji kesabaran kita. Siapa tahu, mungkin ada hikmah atas apa yang berlaku.
Hip: Sebelum ini difahamkan suami Anne pernah melafazkan talak sebanyak dua kali. Dan ini adalah kali ketiga. Justeru, mungkin anda berdua berdepan dengan masalah jika mahu kembali rujuk di kemudian hari.
Anne: Memang sebelum ini dia pernah melafazkan talak sebanyak dua kali. Tapi saya sendiri tidak begitu arif dalam soal ini. Apa pun, biarlah mahkamah yang menentukan segala-galanya pada 14 Jun depan. Kita tunggu saja keputusannya nanti.
Hip: Anne sudah bersedia dengan cabaran yang menanti apabila bergelar janda?
Anne: Wanita mana yang mahukan perceraian dan bergelar janda. Apatah lagi apabila mengenangkan cabaran atau fitnah yang menanti di luar sana. Tapi saya harus kuat menghadapi dugaan ini. Adatlah, apabila bergelar artis dan berdepan dengan situasi seperti ini, tentu ramai pihak yang akan berkata-kata. Saya sudah bersedia untuk berdepan dengan semua itu. Mujurlah saya mempunyai keluarga yang sering menyokong apa saja yang saya lakukan. Sekarang inipun, saya tinggal berdekatan dengan kediaman keluarga saya di Jalan Ipoh. Cuma apa yang saya harapkan, peminat di luar sana akan sentiasa mendoakan yang terbaik buat saya.
Hip: Bagaimana pula dengan soal hak penjagaan anak-anak jika permohonan lafaz talak itu sah?
Anne: Buat masa ini, anak-anak masih di bawah penjagaan saya. Mungkin apabila pengesahan talak itu diluluskan mahkamah, kami berdua akan berbincang mengenainya.
Hip: Biarpun Anne sudah mengenakan tudung sebelum ini, namun Anne pernah mengeluarkan kenyataan yang masih boleh membukanya jika ia bersesuaian dengan watak. Sekarang bagaimana?
Anne: Insya-Allah, mungkin selepas ini Anne akan kekal bertudung. Dan alhamdulillah, sejak mengenakan tudung ini, banyak pula tawaran yang saya terima memerlukan saya untuk terus bertudung. Sejujurnya, sejak mengenakan tudung, saya rasakan yang rezeki saya semakin mewah. Seperti hari ini, saya dilantik menjadi jurucakap kepada produk Aleema walaupun saya mengenakan tudung. Terima kasih saya kepada penerbit yang memahami situasi saya ketika ini. Saya juga berharap peminat akan terus mendoakan yang terbaik buat saya.
Hip: Apa perancangan Anne selepas ini?
Anne: Insya-Allah, saya akan menunaikan umrah pada waktu yang terdekat ini bersama ahli rombongan lain selama dua minggu. Sudah dua kali saya berniat tetapi niat kali ketiga ini baru dimakbulkan. Semoga perjalanan saya ke sana nanti direstui Tuhan. Saya juga mengharapkan moga kehidupan saya nanti akan lebih tenang dan sekali gus menjadikan saya seperti seorang insan yang baru yang lebih kuat dan tabah menghadapi dugaan hidup.
Admax Supports Eco-Living . Click here for 10 easy things you can do today to go green!
Home »
» Wanita mana mahu gelaran janda?’
Wanita mana mahu gelaran janda?’
Written By canang on Khamis, 27 Mei 2010 | 5/27/2010 07:00:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan