Home » » Yuna meniti perjalanan seni

Yuna meniti perjalanan seni

Written By canang on Ahad, 30 Mei 2010 | 5/30/2010 01:00:00 PTG

DIA umpama pucuk muda yang tumbuh menjalar tanpa serangan ulat dan lalang di tengah-tengah kawasan padang. Tiada yang menghalang penumbuhannya dan yang lebih hebat lagi, kehadirannya mampu menarik perhatian semua pihak. Keunikan bakat dan penampilannya benar-benar menjadikan wanita ini lain daripada penyanyi yang ada. Tambahan pula dengan penampilan imej bertudung yang ternyata berbeza. Dia berani memperjudikan personaliti sedemikian di hadapan khalayak penuh keyakinan dan tanpa keraguan. Dia juga menepis tanggapan bahawa imej bertudung sedemikian hanya sesuai untuk penyanyi nasyid wanita.

Yunalis Zarai atau Yuna tidak peduli dengan kata-kata serong terhadap dirinya. Malah dia mempunyai prinsip tersendiri mempertahankan pegangan yang ditanam dan telah menjadi jati dirinya selama ini. Percaya hanya pada bakat, penyanyi lagu Cinta Sempurna ini boleh menarik perhatian semua pihak.

Tiket pejuang muzik bebas yang dipegang selama ini dijadikan sandaran untuk kelihatan lebih unik di kalangan artis yang ada. Tidak cukup dengan itu, disertakan sekali keunikan imej sedemikian untuk menampakkan dirinya lain dari yang lain.

''Saya akui memang tidak bertudung dahulu tetapi memakainya sejak lima tahun lalu. Amalan itu diteruskan ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Pada ketika itu juga saya mula meminati muzik dan menghasilkan banyak lagu.

''Memang pada mulanya saya rasa janggal apabila menjadi pemuzik yang memakai tudung. Tetapi perasaan selesa itu berubah selepas mendapati penerimaan orang tentang imej yang saya bawa itu. Lagipun sekarang ini ramai di kalangan wanita bertudung yang berjaya dan mampu bersaing dengan wanita yang tidak bertudung,'' jelas Yuna yang turut menyatakan pendirian untuk tidak menanggalkan tudung walaupun sudah dikenali.

Anak tunggal kelahiran Subang Jaya, Selangor ini juga optimis dan percaya bahawa pemikiran orang pada zaman sekarang semakin terbuka dalam segala hal. Mereka sudah boleh terima kelainan penampilan asalkan mempunyai alasan yang kukuh untuk bertahan di persada seni.

Tambahan pula, wanita berusia 23 tahun itu gemar mencari kelainan dalam penampilan agar kehadirannya disedari oleh semua pihak. Sebab itu juga dia meminati corak dan pemakaian tudung yang lebih trendy dan ke hadapan, selain berkonsep suai dan padan.

Biarpun ada pihak yang cuba mengubah pemakaiannya namun Yuna tidak selesa. Dia lebih suka menjadi diri sendiri dalam segala urusan. Itu sahaja cara dia bersikap jujur.

Sebab itu, apabila saya menyuakan baju ala kaftan rekaan Albert King berwarna merah manggis lengkap bertudung kepada Yuna, perubahan riak pada wajah bujur sirihnya tidak mampu disembunyi. Mungkin di dalam hatinya sedang berkira-kira untuk memakai pakaian berkenaan yang ternyata 'bukan dia'.

Namun 15 minit kemudian, Yuna anggun keluar dari bilik persalinan dengan memakai pakaian itu yang memukau penglihatan penghuni Studio Greenhouse. Tubuh kurus dan ketinggiannya menjadikan dia padan dengan pakaian berkenaan.

Bisik Yuna, ini kali pertama dia memakai pakaian feminin sedemikian lantas menukar gerak langkah dan ayunan tubuh badan sepanjang sesi fotografi. Namun, Yuna tidak boleh 'lepaskan' pemakaian tudung miliknya kerana itu satu-satunya bahagian yang menjadikan naskah itu adalah dirinya.

Namun itu adalah pendirian Yuna dan semua hormati prinsipnya itu. Dia enggan membenarkan orang mengambil kesempatan terhadap dirinya. Apatah lagi dengan faktor usia mudanya menjadikan Yuna lebih bersikap hati-hati. Dia bimbang sekiranya sikap sambil lewa itu bisa mencalarkan imej yang dipertahankan selama ini.

''Saya perlu berpegang dengan prinsip. Dua lagi aturan hidup saya ialah sentiasa fokus dengan mengaitkan apa sahaja tindakan dengan hukum Tuhan. Saya sentiasa doa kepada-Nya agar apa sahaja yang yang dilakukan diberkati dan mendapat keredaan.

''Selain itu, sebagai anak perempuan yang masih bujang sudah pasti saya akan sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa. Saya bersyukur kerana minat dalam bidang seni mendapat restu daripada kedua ibu bapa,'' katanya.

Begitu juga dengan soal muzik bebas yang diperjuangkan. Dia mempunyai alasan untuk tidak goyah apabila digegarkan dengan soalan masa depan yang mengatakan aliran irama indie bermusim.

Virus kekurangan pendengar muzik di kalangan band indie seperti Meet Uncle Hussain (MUH) dan Bunkface tidak mudah merebak kepada Yuna kerana dia mempunyai formula tersendiri.

Yuna yakin boleh mendapatkan perhatian pendengar dengan menghasilkan karya yang bagus untuk sentiasa diminati. Dia perlu ada satu momentum untuk menjadikan muzik indie bukan sekadar satu trend.

Ia sekali gus meletakkan tugas Yuna semakin berat apabila perlu menjadi kreatif, berlainan dan sentiasa peka dengan kehendak semasa. Dia juga menolak sekiranya dijadikan mahu dijadikan ikon pemuzik indie yang berjaya kerana dia belum berasa puas dengan karya yang dihasilkan.

Baginya, lebih baik sekiranya muzik yang dihasilkan semua pemuzik tempatan tanpa mengira aliran mereka mampu menarik perhatian semua pihak. Dia juga memasang impiannya untuk membuktikan bahawa terdapat masa depan yang cerah sekiranya berhijrah ke arus perdana. Dia mahu meyakinkan bahawa mereka selama ini mempunyai muzik yang bagus untuk bersaing.

Maaf untuk 'perang' dengan media

Pelantun lagu Dan Sebenarnya memberitahu bahawa dia adalah seorang yang pendiam pada peringkat awal menceburi industri nyanyian. Rasa kekok dan macam-macam lagi terutama ketika berdepan dengan wartawan dalam banyak keadaan.

Boleh dikatakan Yuna mengalami sedikit kejutan budaya apabila melihat dirinya hanya seorang peminat dan bukan artis. Begitu juga keadaannya apabila berdepan barisan media.

Dia mengakui bahawa ketika itu dia tidak tahu tentang rentak media. Akibatnya, dia menelan sahaja tohmahan yang ditujukan kepadanya dek perbuatan kurang sopan masa silamnya itu.

''Semuanya berlaku kerana perselisihan faham pada permulaannya. Setelah diberi penjelasan akhirnya kesilapan itu dijadikan pedoman dan pengajaran pada masa akan datang.

''Saya belajar semua itu dan berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan lampau setelah mengetahui hati budi masing-masing. Maafkan sekiranya perbuatan lampau lalu dan saya tidak sanggup berdepan dengan perang dingin dengan media lagi,'' katanya yang sedang giat mempromosikan single terbaru berjudul Gadis Masa.

Pelapis Siti Nurhaliza

Pemenang empat Anugerah Industri Muzik 17 (AIM17) untuk kategori Artis Baru Terbaik dan Lagu Terbaik melalui garapan Dan Sebenarnya, Lagu Pop Terbaik (Dan Sebenarnya) dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Deeper Conversation) benar-benar bertuah.

Langkah kanan dan percubaannya menjadi serta diiktiraf secara langsung oleh semua pihak. Rasa bersyukur kerana perjalanan karier seninya selancar air sungai. Tiada halangan dan mendapat restu dari semua pihak.

Maka timbul satu tanggapan mengatakan Yuna bakal mengikut trek perjalanan seni penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza. Dia diumpamakan sebagai pelapis dan mempunyai masa depan cerah seperti anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.

''Saya tidak rasa dapat menjadi seperti dia. Dia adalah legenda dan mana mungkin saya menjadi sepertinya. Namun, dalam sudut hati saya berhajat untuk berjaya sepertinya. Dikenali di seluruh dunia atas bakat yang sedia ada.

''Bayangkan semasa saya berada di Los Angeles bulan April lalu, ada seorang peniaga makanan warganegara Thailand memasang klip video Siti Nurhaliza di kedainya. Dia kenal dan suka dengan suara Siti Nurhaliza. Itu satu bentuk promosi yang bagus sebab dapat menarik orang yang lalu lalang untuk mengenali siapa penyanyi Asia itu,'' katanya yang kini sudah mempunyai pengurus yang bertindak memperkenalkan bakatnya di Amerika Syarikat (AS) bernama Ben.

Penyanyi yang bercita-cita untuk meraih Anugerah Grammy itu juga berhajat untuk memperkenalkan muzik ciptaannya ke peringkat antarabangsa. Dia yakin dengan pembawaan 20 lagu Inggeris yang diciptanya dengan 'pengaruh' Ben.

Ditanya adakah Yuna merasakan dirinya semakin popular setelah muziknya diterima ramai, dia hanya menggelengkan kepala. Baginya, dia masih lagi Yuna yang dahulu - suka menghabiskan masa di rumah teres ibu bapanya dan gemar menulis lagu pada masa lapangnya.
Share this article :

1 ulasan:

Raji and Yeen berkata...

hohoho Yuna the best =D
awat la artis len xnk tiru bertudung skali =P

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger