PERSATUAN Seniman Malaysia (SENIMAN) kini memantau perkembangan beberapa artis terutama pelakon filem dan drama yang disyaki pernah atau didakwa terbabit dengan pengambilan dadah terutama ganja dan syabu dalam usaha membasmi penagihan di kalangan anak seni di negara ini.
Sambil mengakui kebimbangan dengan angka yang diperoleh secara rambang itu, Setiausaha Agung SENIMAN, Yusof Kelana, berkata pihaknya terpaksa mewujudkan unit pemantau sendiri untuk mengenal pasti secara sahih, mengesan dan membantu memulihkan artis berkenaan.
Selain artis, mereka yang dikenal pasti itu termasuk penggiat seni yang terbabit dalam industri filem seperti kru dan pelakon baru. “Pemantauan terpaksa dibuat berikutan perkembangan terkini yang sering mengaitkan artis dengan dadah memberi imej negatif kepada golongan anak seni sekali gus ia memberi gambaran tidak baik kepada pembangunan industri hiburan di Malaysia. SENIMAN tidak boleh dedahkan siapa lebih 30 artis yang kami sedang pantau ini sebab mereka bukannya disahkan menjadi penagih dadah cuma ada dakwaan nama mereka terbabit dengan dadah. Jadi, kita memantau untuk melihat sejauh mana kebenaran dan tahap penagihan mereka.
“SENIMAN juga tidak boleh untuk membuat pengesahan mereka itu sebagai penagih dadah tegar atau sebaliknya, Jika kita dapat mengenal pasti, mereka akan diberi bantuan atau dirujuk kepada pihak berkuasa. Semua artis dan karyawan yang dipantau SENIMAN ini belum pernah ditahan atau ditangkap polis sebaliknya kita ketahui menerusi sumber dalam produksi, maklumat umum dan rakan dalam industri hiburan sendiri.
“Jadi, senarai nama artis yang kita pantau ini bukan secara sahih terbabit dengan dadah.... belum ada bukti sahih, usah spekulasi artis yang mana. SENIMAN cuma baru kenal pasti nama mereka dan pantau pergerakan mereka secara rambang saja berdasarkan maklumat awal kerana ada pihak memberitahu nama-nama tertentu ini pernah mengambil ganja, syabu malah ada yang ambil dadah jenis ice.
“Kita juga berharap artis yang pernah mengambil dadah dan mula mendekati najis dadah diminta menghentikan tabiat buruk. Mereka yang berasa mahu dibantu harus tampil secara sukarela dan SENIMAN akan usahakan bantu mereka dari segi pemulihan menerusi kerjasama dengan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Pengasih Malaysia.
“Kami juga akui memang ada artis baru termasuk karyawan filem yang terbabit dalam najis dadah terutama ganja, syabu dan ice ini kebanyakannya baru saja terbabit dalam industri filem. Ramai juga pelakon tambahan saja dan kemudian mengaku jadi artis, jadi ada kalanya gelaran artis itu beri kesan negatif kepada imej pelakon profesional. Kita juga kesal dengan perbuatan mereka kerana pelakon tambahan ini sebenarnya belum boleh dianggap sebagai artis yang sebenarnya,” katanya.
Kata Yusof lagi, SENIMAN akan bekerjasama dengan AADK dari segi untuk membantu pemulihan selain memberi penerangan dan ceramah kepada golongan artis supaya menghindari najis dadah serta bersama-sama membasmi najis dadah.
Sejak kebelakangan ini, dunia hiburan di Malaysia dikejutkan dengan berita penangkapan artis akibat kes pengambilan dadah dan syabu seperti dilaporkan media massa. Baru-baru ini, pelawak popular Saiful Apek ditahan reman polis selama empat hari kerana disyaki mengambil ganja. Bagaimanapun, beliau dibebaskan dengan jaminan polis.
Pada 2 April lalu, penyanyi utama kumpulan Spring, Ameng ditahan kerana dadah dan kini di bawah pengawasan polis. Pelawak Yassin Yahaya pernah ditahan polis kerana dadah pada Disember 2001, manakala pelakon, Benjy yang ditahan polis kerana dadah kini dihantar ke Pusat Hanan Muar, Johor selama dua tahun.
Dua penyanyi terkenal era 1980-an dan 1990-an , iaitu Jamal Abdillah dan vokalis kumpulan Iklim, Saleem juga adalah antara artis yang pernah ditahan kerana kes dadah. Jamal pernah pertama kali ditahan pada 1986 dan pernah mendapat rawatan di Pusat Serenti Tampin, manakala Saleem pernah menjalani hukuman di Penjara Taiping.
Home »
» 30 artis dipantau kes dadah
30 artis dipantau kes dadah
Written By canang on Isnin, 28 Jun 2010 | 6/28/2010 05:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan