Home » » Berlaku Kemasukan Pada Dubur Saiful - Pakar Bedah HKL

Berlaku Kemasukan Pada Dubur Saiful - Pakar Bedah HKL

Written By canang on Jumaat, 4 Jun 2010 | 6/04/2010 07:00:00 PG

KUALA LUMPUR: Walaupun tiada kesan kecederaan atau trauma pada dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan, Pakar Bedah Am Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohd Razali Ibrahim menyatakan terdapat kemasukkan pada bahagian tersebut.

Mohd Razali, 37, berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan laporan kimia bahawa terdapat kesan air mani pada empat sampel yang diambil daripada bekas pembantu khas Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Tiga sampel diambil daripada bahagian rektum (bahagian usus besar) dan satu dari bahagian luar punggung.

“Berdasarkan laporan yang saya ada, saya boleh mengatakan berlaku kemasukan walaupun tanpa kecederaan kerana ia boleh berlaku. Dengan bukti air mani, saya boleh mengatakan ada kemasukan,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah tidak dimaklumkan siapa pemilik air mani itu.

Berhubung ketiadaan kesan kecederaan pada bahagian dubur mangsa, saksi tersebut berkata, ia berkemungkinan disebabkan bahan pelincir digunakan semasa kejadian liwat yang didakwa berlaku.

Mohd Razali juga berkata, hasil laporan klinikal mendapati, tiada penemuan konklusif yang dapat mencadangkan kemasukkan pada dubur atau rektum dan tiada kesan mempertahankan diri adalah lengkap semasa laporan disediakan.

Bagaimanapun jelasnya, turut dinyatakan dalam laporan klinikal ialah kehadiran DNA lelaki dalam sampel-sampel berkenaan.

Menurut beliau lagi, laporan klinikal itu dibuat pada 13 Julai 2008 tanpa laporan-laporan lain seperti laporan kimia.

Laporan kimia dikemukakan pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden ketika mengendalikan pemeriksaan utama terhadap saksi pendakwaan kedua itu.

Arahan untuk memeriksa Mohd Saiful diterima saksi pada jam 7 malam, 28 Jun 2008, iaitu dua hari selepas kejadian didakwa berlaku.

Pemeriksaan dilakukan di bilik unit kecemasan hospital dan disertai Dr Khairul Nizam Hassan serta Dr Siew Sheue Feng.

“Bahagian luar punggung adalah moist (lembab),” katanya yang pernah menjalankan pemeriksaan punggung terhadap lebih 100 pesakit.

Menjelaskan prosedur pemeriksaan, Mohd Razali memberitahu, adalah penting untuk memastikan alatan dan bekas menyimpan sampel dinyah-kuman, menggunakan topeng muka bagi melindungi diri dan sarung tangan.

Beliau menambah, pelincir digunakan pada alatan protoskop, iaitu alatan untuk memeriksa bahagian dubur.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh kemudian memohon pemeriksaan balas saksi dijalankan esok kerana memerlukan masa untuk berbincang dengan pakar forensik mereka yang didatangkan khas dari Australia, Dr David Lawrence Noel Wells.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan itu.

Anwar, 63, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dekat sini, antara jam 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Perbicaraan bersambung esok.

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger