Home » » Blogger Putera Jihad dipenjara 5 tahun

Blogger Putera Jihad dipenjara 5 tahun

Written By canang on Rabu, 30 Jun 2010 | 6/30/2010 08:53:00 PTG

Seorang penerbit dan penulis blog yang dikenali sebagai 'Putera Jihad' dikenakan hukuman penjara lima tahun hari ini kerana bersubahat dalam serangan pengebom berani mati ke atas dua hotel mewah di ibu negara ini tahun lepas.

Sekumpulan wanita berselubung hitam melaungkan cercaan terhadap panel hakim sebaik-baik sahaja hukuman tersebut diumumkan di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, walaupun lebih ringan daripada penjara tujuh tahun yang dimohon oleh pendakwa raya.

Mohammed Jibril Abdurahman, 25, ditangkap di pejabat syarikat media Ar-Rahmah miliknya beberapa minggu selepas serangan bom di Hotel JW Marriott dan Hotel Ritz-Carlton yang membunuh tujuh orang pada 17 Julai 2009.

Jibril, anak seorang ulama yang dikatakan radikal, didapati bersalah menyembunyikan maklumat mengenai jenayah keganasan dan memalsukan dokumen, iaitu kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara 15 tahun.

"Dia terbukti bersalah memberikan bantuan dan kemudahan serta menyembunyikan maklumat mengenai jenayah keganasan," kata ketua hakim, Haryanto.

Katanya, tertuduh berkelakuan sopan di mahkamah dan dengan itu wajar menerima hukuman lebih ringan daripada yang dituntut oleh pendakwa raya.

Jibril juga didapati tidak terlibat secara aktif dalam komplot serangan bom itu.

Letupan bom di dua hotel tersebut kembali menggegarkan Indonesia selepas empat tahun negara ini bebas daripada serangan yang didakwa didalangi oleh ketua militan, Noordin Mat Top yang dibunuh oleh polis pada September lalu.

Berpuluh-puluh suspek pengganas ditangkap atau dibunuh berikutan serangan bom itu, termasuk kebanyakan orang kanan Noordin.

Ketua operasi serangan, Syaifudin Jaelani ditembak mati pada Oktober lepas.

Menurut pendakwa raya, Jibril menemui Noordin dan Syaifudin sebelum letupan bom itu dan memberitahu saudara lelakinya mengenai serangan yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Bagaimanapun Jibril yang mendapat pendidikan di Pakistan menafikan pernah menemui Noordin dan berikrar untuk terus berjuang bagi membuktikan dia tidak bersalah. - AFP
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger