Home » » Dunia Artis:Cukup-cukuplah kontroversi…fasha

Dunia Artis:Cukup-cukuplah kontroversi…fasha

Written By canang on Khamis, 10 Jun 2010 | 6/10/2010 02:00:00 PTG

FASHA SANDHA sedang leka didandan oleh jurusolek ketika saya tiba untuk temu janji dengannya di kolam renang sebuah kondominium mewah di ibu kota tempoh hari. Dia berada di situ kerana menjalani penggambaran drama Duyong Aridinata terbitan rumah produksi Zeel Productions Sdn. Bhd.

Sebaik terlihat kelibat saya, dia bingkas bangun dan menyapa. Salam dihulur dengan sapaannya berbunyi: “Terima kasih kerana sudi datang ke sini untuk interviu saya. Sudah lama kita tak berjumpa. Saya gembira kerana kita berjumpa lagi.”

Manis senyuman yang terukir di bibir mulusnya. Fasha sangat cantik ketika itu. Ah…sebetulnya tanpa solekan pada wajahnya dia sudah cukup jelita. Kerana itu, tidak hairan kenapa ramai lelaki mudah cair pada aktres berusia 26 tahun itu.

Mega sengaja memilih Fasha untuk memenuhi wajah baru akhbar sisipan ini. Kebetulan, namanya kembali mekar di gelanggang seni. Bukan saja kerana lakonannya yang semakin banyak ditayangkan di kaca TV, bahkan terbaru, kisah peribadinya kembali memenuhi dada-dada media.

Asalnya hajat kami di Mega mahu mengatur sesi fotografi dengannya. Namun, dek kerana kesibukan dia memenuhi tawaran berlakon menyebabkan hasrat itu terpaksa dibatalkan dan Fasha menawarkan koleksi foto terbarunya yang dirakamkan oleh Iskandar Ibrahim untuk disiarkan di akhbar ini.

Lalu, pertemuan itu menjadi ruang untuk Mega berkongsi kisah terbarunya. Lantaran peluang sudah ada di depan mata, maka perbualan menjadi semakin rancak.

Segala-galanya berkisar mengenai kehidupannya. Betapa, Fasha hari ini semakin mengenali lebih mendalam realiti hidup sebagai anak seni.

Tempoh ‘kegawatan’ yang diharunginya sehingga diboikot oleh media hiburan menjadi titik permulaan kepada pelakon yang belum sampai sedekad usia penglibatannya sebagai anak seni untuk kembali memulihkan reputasinya yang tercalar.

“Cukup-cukuplah kontroversi. Saya tak mahu lagi mengulangi saat itu. Tolong ingatkan saya andai saya leka dengan keseronokan hidup sebagai artis. Saya sudah serik dengan apa yang berlaku pada saya dulu,” luahnya dalam nada jujur.

Kesyukuran dipanjatnya kepada Ilahi kerana memberinya kesedaran. Mujur juga kata Fasha, dia mendapat sokongan padu daripada peminat serta keluarga khususnya ibu dan bapa serta adik beradik yang menjadi tulang belakang kepada kekuatannya untuk kembali bangkit daripada kejatuhan.

“Fokus saya kini hanya pada kerja, kerja dan kerja. Syukur rezeki yang Tuhan berikan amat murah. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Saya berterima kasih kepada media kerana menyedarkan saya bahawa hidup sebagai anak seni ada pasang dan surutnya.

“Sesekali bila ada masa terluang, saya habiskannya dengan keluarga. Mama, ayah dan adik beradik merupakan orang yang paling penting dalam hidup. Saya berkongsi kemanisan hidup dengan mereka,” kata aktres yang namanya menjadi masyhur selepas membintangi drama bersiri air mata, Natasha.

Dek kerana pengalaman diboikot oleh media arus perdana juga mencetuskan kesedaran dalam diri Fasha bahawa dia sewajarnya berfikir sebelum bercakap .

Bahkan, pelakon kelahiran Johor Bahru dan dibesarkan di Pulau Pinang itu juga sebolehnya mahu mengakrabkan semula hubungan dengan media yang disifatkannya sebagai teman yang boleh membimbingnya menjadi anak seni yang dihormati.
Share this article :

1 ulasan:

melayu berkata...

fasha memang cantik...kalau dapat link kan blog saya lagi cantik..http://malaymerdeka.blogspot.com. Terimakasih.

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger