Home » » Dunia Artis:Mawi Jatuh Cinta Lagi

Dunia Artis:Mawi Jatuh Cinta Lagi

Written By canang on Sabtu, 26 Jun 2010 | 6/26/2010 12:03:00 PG

Suatu ketika dahulu, artis yang lahir daripada program realiti ini cukup popular dan digilai oleh masyarakat yang meminati suara dan ketrampilannya. Untuk seketika, Asmawi Ani atau Mawi berjaya meraih populariti seperti Dato’ Siti Nurhaliza. Namun, percaturan Mawi dalam kehidupan peribadinya tiba-tiba merentap apa yang telah dimilikinya. Walaupun Mawi tidak mahu mengakui perkara ini, tetapi keadaan membuktikan segalanya.

Namun itu semua cerita lama. Sehingga kini anak kelahiran Johor itu masih berada dalam industri walaupun tidak sehangat dahulu. Mawi mampu bertahan kerana masih ada peminat yang tidak jemu-jemu menyokongnya. Selain itu, Mawi juga dilihat tidak mudah melatah apabila dilanda krisis atau kontroversi. Lihat sahaja penerimaan Mawi terhadap insiden di ‘boo’ di majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 pada April lalu. Mawi masih boleh tersenyum walaupun terkilan diperlakukan sebegitu.

Bagi GUA, apa yang dialami oleh Mawi ini adalah resam bergelar artis. Turun naik populariti memang tidak boleh jangka. Jika hari ini seseorang artis itu berada di puncak, tidak mustahil esok atau lusa dia tiba-tiba berada di bawah. Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan.

Mungkin menyedari hakikat ini, Mawi sudah mempersiapkan diri dengan rancangan kerjaya yang lebih baik. Selepas berjaya bergelar pelakon, juara Akademi Fantasia musim ketiga ini meraih gelaran penerbit dan pengarah pula apabila memiliki syarikat produksi sendiri, MW Entertainment Sdn Bhd. Selain menerbitkan drama dan telefilem, syarikat ini turut menerbitkan beberapa program lain seperti ‘Langkah Mawi’ dan ‘Banglo Baru’.

Mengulas percubaan pertamanya mengarahkan telefilem ‘Pak Nil Mak Kirim Salam’ yang baru selesai penggambaran baru-baru ini, Mawi memberitahu yang dia memang teruja dengan karier barunya itu.

“Saya memang benar-benar jatuh cinta dengan bidang baru ini. Keseronokkan dan kepuasan yang saya dapat, memang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Dalam masa yang sama, saya juga tidak sangka boleh terlibat dengan kerja-kerja pengarahan ini.

“Terima kasih kepada mereka yang banyak menyokong selama ini. Memang bukan mudah untuk mengarah, tetapi saya mahu belajar lebih mendalam lagi. Tentang percubaan pertama ini, saya aplikasikan ilmu yang saya dapat daripada pemerhatian selama ini. Alhamdulilah, semuanya berjalan baik,” ulas Mawi.

Ditanya bagaimana dia mendapat idea untuk telemovie yang akan ditayangkan pada Aidilfitri itu nanti, Mawi memberitahu dia mendapat inspirasi daripada kisah benar yang berlaku kepada dirinya.

“Kalau anda masih ingat, tidak lama dahulu ada seorang peminat saya yang hilang dari rumah kerana ingin menemui saya. Budak lelaki ini menghidap autisme. Daripada insiden itulah saya mendapat inspirasi untuk cerita ‘Pak Nil Mak Kirim Salam’. Saya rasa lebih mudah buat cerita yang ada kena-mengena dengan saya.

“Walaupun mudah, saya mengambil masa yang agak lama juga untuk siapkan skrip ini. Kira-kira lima bulan juga. Bukan apa, saya tidak mahu memaksa diri untuk mencari idea. Takut nanti hasilnya tidak bagus,” ujar Mawi yang mengakui dirinya tidak bercadang untuk menjadi hero dalam naskah sendiri.

Album duet bakal dilancarkan
Bagaimana pula dengan nyanyian? Adakah Mawi ingin melupakan bidang yang menempatkannya dalam industri? Menjawab persoalan ini, Mawi cepat-cepat memberitahu yang dia sebenarnya masih menerima banyak undangan nyanyian untuk majlis-majlis korporat dan persendirian.

“Tidak mungkin saya akan tinggalkan nyanyian buat masa ini. Saya masih terima tawaran menyanyi di majlis-majlis korporat dan persendirian. Malah, September nanti album duet saya berjudul ‘Idola’ akan dilancarkan. Album ini memuatkan lagu-lagu duet saya bersama beberapa artis pujaan saya selama ini seperti Zamani, Hattan, M. Nasir, Ramli Sarip, Ogy Ahmad Daud, Jeffry Din dan Jay Jay.

“Kesemua lagu duet ini adalah rakaman semula lagu-lagu popular mereka. Antara lagu yang terpilih ialah “Tidak Mungkin Berpaling” (Zamani), “Dari Kekasih Kepada Kekasih” (Hattan), “Terharu” (Jamal Abdillah), “Siti Haida” (Jeffy Din), dan “Rela Menanti” (Ogy),” cerita Mawi lagi.

Medan Selera sudah dibuka
Jika anda masih ingat, Januari lalu Mawi ada memaklumkan yang dia akan membuka sebuah medan selera pada tahun ini. Kini, medan selera miliknya itu sudah pun mula beroperasi kira-kira sebulan lalu. Terletak di Jalan Mariamah, Johor Bahru, medan selera yang dinamakan ‘Lambai-Lambai’ itu menyediakan pelbagai juadah popular Johor untuk pengunjung yang mahu menjamu selera.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger