Home » » Imam Muda dekati mat rempit

Imam Muda dekati mat rempit

Written By canang on Jumaat, 18 Jun 2010 | 6/18/2010 10:00:00 PTG

GOLONGAN imam seringkali dikaitkan dengan kerja-kerja tradisi antaranya yang melibatkan bidang kerohanian, pengurusan jenazah dan menikahkan pasangan pengantin semata-mata.

Namun, seiring dengan peredaran zaman yang semakin berkembang terutama dengan masalah gejala sosial yang melibatkan golongan remaja pada masa sekarang, tanggungjawab seorang imam itu dilihat semakin mencabar.

Justeru itu, program Imam Muda terbitan Astro Oasis mengambil inisiatif untuk mendekatkan para peserta dengan golongan remaja termasuk mat motor di sekitar bandar raya Johor Bahru baru-baru ini.

Melalui program berkenaan, para peserta bukan sahaja dapat mendekati remaja dan mat motor malah turut menyelami isi hati sebenar golongan itu.

Bermula pukul 10 malam, para peserta dibawa berkumpul di Ibu Pejabat Polis Trafik Johor Bahru untuk sesi taklimat sebelum dibawa ke operasi sekatan jalan raya di Danga Bay.

Dalam operasi itu, beberapa remaja bawah umur yang berpeleseran dengan menunggang basikal selain beberapa penunggang motosikal telah ditahan atas sebab-sebab tertentu.

Bermula dengan 'ta'aruf' atau suai kenal, peserta terlebih dahulu memperkenalkan diri masing-masing kepada remaja berkenaan sebelum memulakan perbualan selanjutnya.

Menurut Mursyid program berkenaan, Syed Mohd. Norhisyam Tuan Padang, 31, antara tugasan peserta pada minggu keempat ialah berkaitan remaja dan dari situlah idea untuk mendekati golongan mat motor itu muncul.

Katanya, jika sebelum ini golongan imam hanya mengetahui masalah mat motor atau mat rempit melalui media massa tetapi melalui program Imam Muda, mereka turun padang untuk mengalami sendiri pengalaman bersama golongan itu.

“Mereka bukan berbual kosong semata-mata malah peserta turut mentarbiyah dan memberi nasihat kepada remaja berkenaan.

“Melalui tugasan ini, peserta diuji dari segi kebolehan mereka berkomunikasi dan berhadapan dengan golongan remaja berkenaan,” katanya.

Menurut Syed Mohd Norhisyam, tugasan kali ini dilihat dapat mengubah stigma masyarakat terhadap peranan imam yang selama ini dikatakan terbatas untuk perkara-perkara tertentu sahaja.

Bagi seorang peserta, Khairul Azhar Ghazali, 21, tugasan berhadapan golongan remaja ini sesuatu yang mencabar kerana dia perlu memberi motivasi kepada teman sebayanya.

Menurutnya, untuk berhadapan dan memberi nasihat kepada golongan yang sama usia, dia wajar menggunakan pendekatan yang sesuai agar dapat mendekatkan diri lagi dengan golongan itu.

“Bila saya bersua muka dengan salah seorang remaja yang ditahan, saya tidak terus memberi nasihat kepadanya tetapi berbual-bualnya terlebih dahulu.

“Apabila melihat remaja tersebut sudah selesa dengan kita, barulah kita menggunakan pendekatan nasihat kepada golongan itu,” kata peserta itu lagi.

Kesemua rakaman yang melibatkan tugasan Imam Muda itu dapat ditonton menerusi saluran Oasis (saluran 106, Astro) pada pukul 9 malam ini.

Selain Khairul Azhar, peserta-peserta lain terdiri daripada Miril, Asyraf, Aran, Hizbur, Adib, Nuri, Abe Syara, Syakir dan Taufek.

Selepas empat minggu bersiaran dan tiada lagi sebarang penyingkiran dilakukan, mungkinkah salah seorang daripada mereka bakal disingkirkan pada minggu ini?

Kepada peminat rancangan Imam Muda, pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan perjalanan serta kesungguhan 10 peserta berkenaan menyempurnakan tugasan mereka pada minggu ini.
Share this article :

1 ulasan:

Nina Nurziana berkata...

bagus imam tuh .. ;)

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger