Home » » Saya tidak kebal lagi - Rosyam

Saya tidak kebal lagi - Rosyam

Written By canang on Ahad, 27 Jun 2010 | 6/27/2010 09:00:00 PTG

AKTOR popular, Rosyam Nor akhirnya terkena kali ini. Selama 25 tahun berjaya membina reputasi tinggi dalam dunia perfileman, dia kini tidak lagi kebal daripada cerita gosip liar.

Biar pun mengakui dirinya bukanlah manusia yang tidak terlepas melakukan kesilapan tetapi ini kali pertama pengacara Fenomena Seni itu amat terkesan dengan fitnah teruk.

“Saya rasa cukup sedih, hampa dan tergugat dengan cerita yang mengatakan saya menipu ahli dalam perniagaan jualan langsung (MLM). Tidak pernah terlintas di hati saya ini untuk menipu orang ramai,” katanya penuh emosi pada satu sidang akhbar, Khamis lalu.

Rosyam memberitahu, dia bukan sahaja kerugian lebih RM300,000 akibat fitnah itu malah lebih menyayat hati ibunya sering menangis manakala isteri tersayang diganggu pelbagai panggilan telefon.

Rosyam yang ketika ini menjalani penggambaran drama Cinta Selat Tebrau di Singapura terpaksa bergegas pulang ke tanah air untuk mengadakan sidang akhbar.

“Sebaik sahaja sampai di lapangan terbang semalam, saya dijemput isteri dan apabila masuk ke dalam kereta, dia menangis teresak-esak, ” katanya sambil bebola mata sedikit berair.

Rosyam tampil membuat sidang media selepas timbul dakwaan menipu ahli melalui syarikat MLM, Rosyam Nor Group (RNG).

Ahad lalu, sebuah akhbar mingguan menyiarkan keluhan ahli RNG yang mendakwa Rosyam menipu dirinya dengan membuat janji palsu.

Sebelum itu ada beberapa media turut mendedahkan aktiviti beberapa artis yang menjalankan skim cepat kaya yang ternyata telah menganiayai peminat-peminat mereka.

Meskipun tidak menamakan Rosyam, ada artikel yang pernah diterbitkan mengaitkan aktor popular ini.

Kenapa nak bunuh saya?

Rosyam memberitahu, Rosyam Nor Group (RNG) ditubuhkan untuk berperanan mengembang jaringan perniagaan dengan mencari ahli baru dengan menjual produk kesihatan.

Jelasnya, RNG bukan syarikat MLM sebaliknya merupakan satu jenama di bawah syarikat industri jualan langsung, Power Impian International Sdn. Bhd. (Power Impian), sebuah syarikat Kumpulan Power Root.

Tambah Rosyam, setiap ahli baru akan didaftar dengan Power Impian selepas membayar yuran sebanyak RM1,160 akan mendapat tiga produk kesihatan.

“Memang saya berjanji dalam ceramah saya, ahli akan mendapat bonus. Mereka boleh dapat bonus, bukannya duit dalam tempoh dua minggu daripada syarikat, tetapi dengan syarat berjaya mengembangkan rangkaian mereka, ” katanya yang telah melabur ratusan ribu untuk membeli iklan di akhbar arus perdana, ceramah bergerak dan pejabat sendiri.

Difahamkan, ada pihak yang tidak berpuas hati dengan aktor berkenaan telah menghantar e-mel layang bagi menjelaskan keadaan tekanan yang mereka hadapi setelah rugi bila melabur dalam RNG.

Penulis e-mel yang menamakan dirinya sebagai Iman itu, mengecam Rosyam sebagai individu yang berjanji kosong dan memperguna-gunakan peminat. Pancaindera juga turut menerima e-mel berkenaan dan sudah pastinya, dalam hal ini pelakon itu tidak boleh terus menyalahkan media kerana menyiarkan keluhan pembaca berkenaan.

Bercakap soal itu, Rosyam menganggap penulis e-mel layang itu hadir dengan hanya satu tujuan, menjatuhkan nama RNG dan Power Impian.

“Untuk menjatuhkan bisnes ini, mereka perlu ‘membunuh saya dahulu’. Tapi tidak mengapa, saya sedang mengumpul maklumat dan berjanji akan mendedahkan nama individu itu jika memperoleh bukti kukuh untuk diserah kepada pihak polis.

“Saya pun hairan kenapa artis lain yang menyertai Power Impian seperti Dafi, Farah Akademi Fantasia 2 dan Zed Zaidi tidak ‘ditembak’ seperti saya.

“Begitu Lisdawati dan Fauzi Nawawi yang menjadi ahli kumpulan lain? Kenapa hanya saya? ” soalnya kehairanan.

Apa selepas ini?

“Sudah tidak boleh buat apa-apa lagi. Dalam MLM ini, paling penting adalah kepercayaan. Sekarang orang ramai sudah tidak percaya saya lagi. Saya labur RM100,000 untuk buat promosi iklan ceramah bergerak tetapi yang datang hanya enam orang.

“Padahal sebelum ini yang datang lebih 1,000 orang setiap kali saya buat ceramah. Saya pernah mencapai jumlah jualan produk sebanyak RM461,000 dalam satu hari. Sekarang ahli baru yang masuk hanya empat orang selepas cerita fitnah itu tersebar,” jawabnya panjang dalam nada kesal.

Menjawab soalan terakhir, Rosyam kelihatan tenang apabila ditanya kebenaran RNG yang sedang dipantau aktiviti perniagaannya oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya sambil tersenyum, dia sedia disiasat namun hingga kini SSM tidak pernah datang ke syarikatnya untuk melakukan siasatan.

“Sebenarnya isu RNG dipantau oleh SSM kerana diragui aktivitinya merupakan isu lama dan apabila ia tidak berkesan, muncul pula isu saya dituduh menipu kerana membuat janji palsu.

“Saya ingat saya kebal. Akhirnya saya terkena juga,” katanya ketawa kecil. dalam riak wajah yang mula ceria.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger