Home » » Seorang wanita yang mendakwa dirinya pewaris keturunan Puteri Saadong' gemar berkhayal'

Seorang wanita yang mendakwa dirinya pewaris keturunan Puteri Saadong' gemar berkhayal'

Written By canang on Jumaat, 11 Jun 2010 | 6/11/2010 10:00:00 PTG

KOTA BHARU: Seorang wanita yang mendakwa dirinya pewaris keturunan Puteri Saadong, baru-baru ini, dikatakan tidak mempunyai sebarang pertalian atau hubungan dengan keturunan raja.
Perkara itu didedahkan salah seorang ahli keluarganya yang tampil kepada media sambil mendakwa dia mengenali Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, 24, yang membuat pengakuan dalam sebuah akhbar mengenai dirinya adalah keturunan ketujuh Puteri Saadong.

Menurut ahli keluarga yang enggan dikenali itu, semua dakwaan disiarkan dalam akhbar sebelum ini amat meragukan dan menimbulkan tanda tanya apabila dia sendiri mengenali Raja Putri Anis atau dikenali dengan nama samaran sebagai ‘Along’.

Katanya, dia tertanya-tanya dari mana datangnya gelaran ‘Raja’ yang digunakan kerana sepanjang pengetahuannya tidak ada mana-mana ahli keluarganya menggunakan gelaran itu.

“Bagi saya, perkara ini agak melucukan kerana saya dan ahli keluarga lain sedar dengan perangai peliknya sebelum ini yang mengandaikan dirinya seperti ‘Puteri’ dan suka berimaginasi.

“Nenek dan datuk di sebelah ibunya masih ada di kampung itu. Sebaik terbaca kisah ini, saya bertanya kepada datuknya sama ada pernah mempunyai pertalian diraja dengan sultan atau raja Indonesia dan dia hanya tergelak,” katanya.

Menurutnya, dia bersama ahli keluarga yang lain sememangnya menyedari sikap Along yang terlalu obses dengan perkara berunsur mistik termasuk kisah Puteri Saadong.

Katanya, ramai juga ahli keluarga yang tidak tahan dengan sikap itu dan sering menasihatkannya supaya jangan terpengaruh dengan perkara mitos tetapi ia tidak diendahkan.

“Akibatnya, dia ‘membuang’ keluarganya dan kami terputus hubungan. Apa yang saya tahu, nama ibu bapa sebenarnya tidak ada gelaran ‘Raja’ termasuk dirinya.

“Keluarganya sering berpindah-randah, kami tidak tahu lagi mengenai perkembangan mereka,” katanya.

Kemunculan wanita berkenaan mengakui dirinya sebagai pewaris Puteri Saadong menimbulkan tanda tanya apabila puteri berkenaan dikatakan tidak mempunyai zuriat dan kisahnya terhenti sejak ‘kehilangannya’.

Bagaimanapun, Raja Putri Anis berkata Puteri Saadong sebenarnya membawa diri ke Aceh dan menggunakan gelaran Puteri Hijau yang berkahwin dengan Sultan Gowa.

Terdahulu, sebuah majlis pemasyuran Raja Putri Anis dilakukan di PCB Resort, di sini, kelmarin, sebagai simbolik berakhirnya sumpahan 420 tahun Puteri Saadong.

Majlis itu juga membawanya kepada gelaran Sri Ratu Saadong Ke-7.

Raja Putri Anis dimasyhurkan sebagai Sri Ratu Saadong Ketujuh oleh wakil raja nusantara, Kanjen Pangeran Norman Hadi Negoro dan Kanjen Mas’ud Toyyib dari Keraton Surakarta Hadiningrat, Indonesia dengan keris warisan.

Malam sebelumnya, pelancaran buku ‘Sri Ratu Saadong VII’ diadakan di tempat sama dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger