Home » » Subsidi: k'jaan digesa cuci 'skandal' dulu

Subsidi: k'jaan digesa cuci 'skandal' dulu

Written By canang on Rabu, 2 Jun 2010 | 6/02/2010 11:00:00 PG

Kerajaan digesa membersihkan dahulu segala 'skandal' kewangan sebelum layak bercakap soal pengurangan subsidi, kata Setiausaha DAP Selangor Lau Weng San.

Beliau yang juga ADUN Kampung Tunku berkata, jika kerajaan tidak bersedia menjelaskannya serta memerangai rasuah dan kebocoran dalam perbelanjaan negara, secara moralnya, mereka tiada kuasa untuk memansuh pemberian subsidi.

Katanya, dalam tempoh dua minggu ini, media mengetengahkan peningkatan hutang kerajaan kepada RM300 bilion dan ancaman muflis dalam tempoh 9 tahun sekiranya pemberian subsidi diteruskan.

"Saya rasa sia-sia sahaja kita bercakap perkara ini, dengan mengetepikan kebocoran dalam perbelanjaan kerajaan persekutuan sejak beberapa dekad," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, selaras dengan janji "I help you, you help me" dalam pilihan raya kecil Sibu sebelum ini kini semua rakyat Malaysia harus meminta untuk 'berurusan' dengan PM pula.

"Kita boleh memberi bantuan kepada kerajaan jika mereka boleh membantu kita. Pengurangan subsidi adalah munasabah, tetapi kerajaan perlu memberi penerangan terhadap semua skandal kewangan yang terdahulu yang bukan sahaja melibatkan nilai berjuta-juta, puluhan juta, ratusan juta malah berpuluh bilion ringgit.
"Bermula dari 1980-an- skandal Maminco, skandal Bank Bumiputera, skandal tukaran mata wang asing Bank Negara pada awal 90-an. Berapa banyak yang telah dihabiskan untuk membantu mereka?

"Selain itu, kerajaan telah bersediakah untuk mendedahkan pernyata penuh akaun Petronas kepada rakyat? Pendapatan utama syarikat berkaitan kerajaan meningkat dari tahun ke tahun. Pra-cukai keuntungan PLUS, TNB dan Petronas bernilai RM1.62 bilion, RM1.54 bilion dan RM1.23 bilion pada tahun kewangan 2009.

"Tetapi kerajaan mendakwa bahawa mereka akan muflis dalam masa sembilan tahun dan masyarakat harus membayar lebih untuk tol mereka, kadar elektrik dan petrol. Apakah alasannya?" soalnya.

Lau juga menggesa kerajaan menjelaskan pelbagai dakwaan kontroversi antaranya berhubung peningkatan kos pembinaan Hospital Shah Alam dan kejadian runtuhan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger