Program Sehati Berdansa sememangnya mempunyai ramai penonton. Apatah lagi kebanyakan pasangan yang menyertai program yang berkonsepkan tarian itu disertai oleh ramai personaliti popular.
Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini terdapat segelintir penonton yang mahu program tersebut dihentikan. Semuanya gara-gara semakin ramai pasangan yang pernah membabitkan diri dengan program itu menghadapi masalah rumahtangga dan akhirnya berpisah dengan pasangan masing-masing.
Antara pasangan yang menghadapi situasi tersebut ialah Radhi OAG dan pasangannya Shazlin Sharif, Anne Ngasri dan Abdul Wafi, Atilia dan Ariff Johan Abdul Jalil serta yang terbaru, pelakon drama, Sabrina Ali.
Berkesempatan bertemu dengan bekas juara Sehati Berdansa musim pertama, Vanidah Imran baru-baru ini, isu mengenai 'badi' Sehati Berdansa segera diajukan.
Vanidah yang lebih mesra disapa Vee memberitahu dia sendiri terkejut dengan situasi tersebut namun lebih gemar mengambil pendekatan percaya kepada ketentuan Allah.
"Secara peribadi, selepas program 'Sehati Berdansa' rezeki saya bersama suami semakin murah. Malah peminat juga banyak memberikan respon yang positif kepada kami.
"Namun di dalam perkahwinan, saya tidak nafikan semua orang akan menghadapi masalah tersendiri. Terpulang bagaimana caranya kita menghadapinya. Pada saya dalam perkahwinan apa yang paling penting ialah toleransi, komunikasi dan pengorbanan.
"Jika ada sebarang masalah, berbincang merupakan cara terbaik untuk mengatasinya. Dalam program Sehati Berdansa, sememangnya jika seseorang itu tidak sabar, ia memang boleh menjadi masalah.
"Seperti saya dengan suami. Shidi sememangnya langsung tidak pandai menari dan saya pula minat dan cepat tangkap dengan tarian yang diajar. Kalau saya nak marah, saya memang boleh marah Shidi tetapi saya lebih suka ambil pendekatan memberikan dia masa dan memberikan sokongan antara satu sama lain.
"Sebabnya semasa menerima tawaran Sehati Berdansa, Shidi memang kurang berminat sebab dia tidak suka menari. Tetapi oleh kerana saya pujuk dan dalam masa yang sama ianya bertujuan untuk kebajikan, dia akhirnya bersetuju. Inilah yang dikatakan rezeki apabila kami diumumkan sebagai juara," jelasnya panjang lebar.
Sehati Berdansa platform kenali pasangan
Dalam pertemuan itu, pelakon yang mula dikenali melalui filem 'Putera' itu turut mendedahkan sepanjang program Sehati Berdansa musim pertama, dia ada mendengar cerita daripada krew yang mengatakan terdapat segelintir pasangan yang bergaduh gara-gara wujud salah faham.
Vee ternyata tidak bersetuju dengan pendekatan tersebut kerana katanya sebagai pasangan suami isteri, masing-masing perlu menjaga maruah diri di hadapan khalayak ramai.
"Itulah sebabnya orang tua-tua dulu ada berpesan kalau bergaduh dengan suami isteri, jangan sampai orang luar nampak atau tahu. Masing-masing kena jaga maruah terutama isteri perlu menjaga maruah suami di hadapan orang ramai.
"Apabila isteri marah suami di depan orang, pasti maruah suami akan tercalar. Selain itu, suami juga perlulah banyak bersabar. Janganlah kerana masalah kecil atau marah sedikit, terus lafazkan cerai. Perlu berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan," tambahnya.
Diminta mengulas mengenai isu penceraian di kalangan bekas peserta program realiti tersebut yang semakin meningkat, Vee ternyata sukar untuk memberikan sebarang komen. Namun katanya itu adalah perkahwinan masing-masing dan setiap individu pasti mempunyai masalah mereka yang tersendiri.
"Mungkin perkara ini berlaku secara kebetulan. Saya susah nak bagi komen sebab ini semua adalah takdir sesebuah perkahwinan yang dilalui oleh mereka.
"Tetapi bagi saya Sehati Berdansa merupakan platform terbaik untuk lebih mengenali hati pasangan masing-masing. Ini kerana selama program tersebut berlangsung, selama dua bulan saya hari-hari akan melihat wajah suami saya dan itu menjadikan kami lebih memahami antara satu sama lain," ujar Vee yang sudah 10 tahun mendirikan rumahtangga.
Mengenai istilah bosan di dalam perkahwinan, Vee menyatakan istilah tersebut tidak boleh wujud di antara pasngan suami isteri. Ini kerana setiap pasangan pastinya mengimpikan sebuah perkahwinan yang bahagia hingga ke akhir hayat.
"Untuk menyemarakkan rasa cinta dalam perkahwinan, bagi saya setiap pasangan perlukan masa untuk berdua. Macam saya dan suami, adakalanya kami masih menonton wayang bersama.
"Kami juga selalu menghabiskan masa dengan aktiviti yang kami suka seperti berenang dan bermain tenis bersama," jelas Vee yang bersyukur kerana mendapat seorang suami yang sangat penyabar dan memahami akan dirinya.
Home »
» 'Badi' Sehati Berdansa:Ramai Pasangan Sehati Berdansa menghadapi krisis Rumahtangga:
'Badi' Sehati Berdansa:Ramai Pasangan Sehati Berdansa menghadapi krisis Rumahtangga:
Written By canang on Isnin, 12 Julai 2010 | 7/12/2010 12:15:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan