LOS ANGELES 3 Julai - Penyanyi pop terkenal, Lady Gaga kini semakin hampir mencipta rekod sebagai individu pertama dengan 10 juta peminat dalam laman rangkaian sosial, malah sudah mengatasi populariti Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Facebook.Satu kumpulan di Britain yang menilai populariti dalam talian, Famecount.com semalam menyatakan, Gaga memang sudah dikenali sebagai pemuzik paling popular dalam talian jika dilihat pada jumlah peminat di Facebook, Twitter dan YouTube.
Semalam, penyanyi lagu Bad Romance dan Paparazzi itu didapati mempunyai 9.9 juta peminat di Facebook dan 4.7 juta di Twitter.
Selebriti berusia 24 tahun yang muncul dengan album pertamanya dua tahun lalu itu, 'menewaskan' Obama minggu lalu. Obama mempunyai 9.4 juta peminat di Facebook dan 4.4 juta pengikut di Twitter.
"Pada bila-bila masa, Gaga akan menjadi orang pertama dengan 10 juta peminat di Facebook, malah yang paling ramai di setiap laman rangkaian sosial," kata Famecount.com di laman webnya.
Gaga bagaimanapun menghadapi beberapa saingan sengit sebelum menguasai dunia laman rangkaian sosial.
Famecount.com yang beribu pejabat di selatan England adalah penilai populariti dalam talian di pelbagai saluran media sosial seluruh dunia.
Lady Gaga buat kali pertama memasuki majalah Forbes dalam senarai artis terkenal 2010 Celebrity 100 minggu ini, berada di tangga keempat dengan pendapatan mencecah AS$62 juta (RM142.6 juta) sejak 12 bulan lalu. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan