Home » » Pakatan Rakyat Desak LHDN Kutip Tunggakan Cukai RM328 Juta Daripada Kuala Dimensi

Pakatan Rakyat Desak LHDN Kutip Tunggakan Cukai RM328 Juta Daripada Kuala Dimensi

Written By canang on Sabtu, 17 Julai 2010 | 7/17/2010 09:30:00 PG

KUALA LUMPUR 16 Julai - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengambil langkah yang tegas dan pantas bagi mengutip tunggakan cukai daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) termasuk tindakan mahkamah.
Pada ucapan penangguhan sidang parlimen semalam Tony berharap Kementerian Kewangan mengambil tindakan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, Seksyen 103A(2), yang berbunyi, “tax payable under an assessment for a year of assessment shall be due and payable on the due date whether or not that company appeals against the assessment”, yang bermaksud segala penilaian cukai yang telah dibuat oleh LHDN perlu dibayar oleh individu ataupun syarikat walaupun pihak berkenaan ingin membuat sebarang rayuan atau sebarang pertikaian mengenai jumlah yang ditentukan.
"Pada 23 Julai, LHDN telah mengeluarkan sepucuk surat kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan mengarahkan supaya LPK menghentikan bayaran pemilik bon yang telah meminjamkan wang kepada syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd.
"Sebaliknya, LPK dilantik oleh LHDN sebagai agen LHDN di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 Seksyen 67 dan Seksyen 68 bertujuan mengutip cukai tertunggak KDSB yang berjumlah melebihi RM328 juta. LPK diarahkan supaya ia membayar jumlah tersebut kepada LHDN sebelum sebarang bayaran tambahan dibuat kepada pihak pemilik bon.

"Selepas bayaran dibuat oleh LPK atas bantahan daripada pihak pemilik bon, LHDN pada 30 Jun 2010 menarik balik arahannya kepada LPK. Mengikut kenyataan Ketua Eksekutif KDSB, Datuk Faizal Abdullah, tunggakan cukai berbangkit adalah berasal daripada perakaunan tahun 1997 dan tahun 1998 dan KDSB mempertikaikan jumlah yang dikenakan oleh LHDN. Beliau juga mempelawa sebarang tindakan mahkamah ke atas KDSB untuk menjelaskan cukai tunggakan tersebut," kata Tony.
Beliau mahuk Kementerian Kewangan menjelaskan beberapa perkara yang penting mengapa KDSB dibenarkan LHDN untuk berhutang terhadap cukai yang begitu besar sebanyak RM328 juta selama 13 tahun; mengapa LHDN tidak memperkuatkuasakan haknya di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengutip cukai yang telah dinilai sebelum sebarang rayuan dan pertikaian dibuat; dan mengapa LHDN tidak meminta keputusan mahkamah untuk merampas wang tunai dan aset syarikat KDSB yang berjumlah RM932 juta untuk tujuan penyelesaian cukai pendapatan yang lama tertunggak.
"Sikap LHDN yang terlalu lembut terhadap KDSB menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan yang dilihat memilih kasih dan memihak kepada syarikat yang dimiliki oleh orang berpengaruh, manakala rakyat jelata yang bertungkus-lumus untuk membela nasib keluarga mereka dikenakan tindakan yang cepat dan cekap oleh LHDN supaya kutipan cukai pendapatan tidak dapat dielakkan ataupun ditangguhkan," tegas Tony lagi.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein sebelum itu memberitahu LHDN di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 tidak mempunyai kuasa untuk merampas wang tunai dan aset pembayar cukai.
Walau bagaimanapun, LHDN sedang mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger