KUALA LUMPUR: Seorang pekerja ladang kelapa sawit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan memiliki wang tebusan dan melupuskan sebahagian wang hasil penculikan membabitkan RM468,600, bulan lalu.
R Kanduraju, 44, dituduh memiliki sebahagian daripada wang tebusan itu iaitu sebanyak RM30,000 bagi penculikan seorang lelaki berusia 64 tahun di persimpangan Jalan Hujan Emas, Bukit OUG di sini pada 8.50 pagi, 16 Jun lalu. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di stesen minyak Shell, Sungai Pelek di sini pada 11.30 pagi, 27 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Kanduraju didakwa memiliki sebahagian daripada wang tebusan sebanyak RM400,000 bagi penculikan mangsa yang sama di sebuah rumah di Taman Desa Jasmin, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan pada 7 malam, 28 Jun lalu.
Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh melupuskan sebahagian wang tebusan sebanyak RM38,600 kepada P Gunalan, 38, di perhentian selepas Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan pada 10.30 malam, 26 Jun lalu.
Bagi kesemua pertuduhan itu, Kanduraju didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Colek 1961 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam M Manoharan. Terdahulu, Nor Asma menawarkan jaminan RM12,000 terhadap Kanduraju dengan alasan kesalahan itu serius dan jumlah yang ditawarkan adalah munasabah bagi menjamin kehadiran tertuduh di mahkamah.
Bagaimanapun, Manoharan memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya yang bekerja sebagai pemotong buah kelapa sawit perlu menanggung isteri dan dua anaknya yang berusia lima dan enam tahun.
“Jumlah yang terbabit dikatakan berjumlah RM1.2 juta dan wang tebusan yang dirampas sudah disita. Ramai yang terbabit dalam kes ini tetapi hanya tertuduh ditahan,” katanya.
Hakim Jagjit Singh kemudian membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua tuduhan dan menetapkan 9 Ogos ini untuk sebutan kes. -Bernama
Home »
» Pekerja ladang sawit dituduh memiliki dan melupuskan wang tebusan RM468,600
Pekerja ladang sawit dituduh memiliki dan melupuskan wang tebusan RM468,600
Written By canang on Sabtu, 10 Julai 2010 | 7/10/2010 03:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan