Media di Jerman dan Switzerland melaporkan secara meluas mengenai program realiti televisyen Malaysia, "Imam Muda".
Pada masa di kebanyakan negara di barat, program bakat televisyen dianjurkan bagi memilih bintang, Malaysia memilih "bintang imam" berikutnya menerusi program pencarian bakat, seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar di Jerman dan Switzerland.
Butiran mengenai program "Imam Muda" dilaporkan dengan meluas oleh akhbar harian -- daripada Tagesspiegel, Merkur Online menerusi n-tv.de, Bild.de, Sueddeutsche Zeitung sehinggalah kepada akhbar harian Switzerland, Tagesanzeiger - membuatkan pembaca begitu asyik, seperti yang digambarkan oleh pembaca dalam komen mereka terhadap laporan berita itu.
Menerusi program "Imam Muda", kira-kira lapan anak muda muncul di televisyen di Malaysia pada waktu perdana, lengkap berbaju Melayu dan bersongkok.
Tagesanzeiger, misalnya menyifatkan calon berkenaan sebagai "superstar" di televisyen Malaysia dan melaporkan bahawa mereka nampaknya telah menjadi pujaan hati ramai wanita muda.
Berbeza dengan program realiti yang lain, apabila peserta lazimnya menyanyi atau menari, calon dalam program "Imam Muda" memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran, mengikuti latihan menguruskan jenazah untuk dikebumikan, dan berikrar untuk melindungi golongan muda Malaysia daripada seks serta dadah.
Program pencarian bakat yang disiarkan setiap minggu itu diketuai oleh seorang ulama terkemuka, Hasan Mahmud.
Beliau mewujudkan sekumpulan imam muda yang dapat dijadikan contoh dan menggunakan bantuan mereka untuk memerangi gejala "keruntuhan sosial dan moral."
Calon terbabit, berusia antara 18 dan 27 tahun, dipilih berdasarkan kriteria personaliti dan pengetahuan agama mereka. Seperti juga dalam "American Idol" dan program bakat yang lain, calon disingkirkan setiap minggu apabila mereka gagal melayakkan diri.
Banyak penonton dan pembaca yang terkejut apabila mendapati sepanjang tempoh program itu, calon-calon diasingkan dan ditempatkan dalam ruang tidur sebuah masjid - tanpa telefon bimbit, Internet, televisyen dan peralatan moden lain - supaya mereka dapat "berfikir sendiri dan tidak perlu bergantung harap kepada bantuan atau galakan dari luar."
Pemenang pertandingan itu berpeluang menunaikan fardu haji di Mekah, bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran di universiti di Madinah, dan bekerja di masjid," kata pengulas dalam akhbar harian Tagesspiegel yang diterbitkan dari Berlin.
Akhbar Jerman itu menegaskan bahawa semua peserta yang mengambil bahagian pastinya "dikagumi oleh peminat remaja dan bakal ibu mertua."
"Bagi umat Islam, menantu yang ideal adalah bakal imam kerana mereka berpendidikan dan mempunyai pengetahuan mendalam tentang Islam," akhbar itu memetik Iselan Bazar daripada rangkaian Astro Oasis yang menyiarkan rancangan pencarian bakat agama itu. - BERNAMA
Home »
» Program 'Imam Muda' Dapat Liputan Meluas Akhbar Di Jerman, Switzerland
Program 'Imam Muda' Dapat Liputan Meluas Akhbar Di Jerman, Switzerland
Written By canang on Jumaat, 16 Julai 2010 | 7/16/2010 07:00:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan