Home » » Samun Peniaga Ikan, Polis Tembak Mati Empat Lelaki

Samun Peniaga Ikan, Polis Tembak Mati Empat Lelaki

Written By canang on Khamis, 15 Julai 2010 | 7/15/2010 10:00:00 PG

Empat lelaki dipercayai warga asing mati ditembak tidak sampai setengah jam selepas mereka menyamun rumah seorang peniaga ikan di Kampung Bangau Tanjong di Temerloh awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ACP T. Narenasegaran berkata, polis yang menerima laporan berhubung kejadian samun pada 2.45 pagi tadi, melancarkan operasi mengesan suspek sebelum terserempak dengan sebuah kenderaan dipercayai dinaiki keempat-empat lelaki terbabit lima kilometer dari rumah mangsa yang berusia 32 tahun.

Polis mengekori kereta itu sejauh 100 meter sebelum mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan.

"Suspek bagaimanapun tidak menghiraukan arahan polis dan terus memecut," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Setelah mengejar kumpulan penjenayah itu, polis memintas kereta mereka berhampiran sebuah kilang papan di kawasan perindustrian Songsang.

Katanya kesemua mereka kemudian keluar dari kereta tersebut lalu menyerang polis menggunakan parang.

"Polis melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan kesemua suspek mati di tempat kejadian," katanya.

Narenasegaran berkata, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada kesemua lelaki yang berusia 30 hingga 40 tahun itu.

Mayat kesemua mereka dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.

Beliau berkata bahawa setelah memeriksa kereta itu, polis menemui tiga komputer riba, 10 telefon bimbit, barangan kemas, tujuh utas jam tangan dan dua kamera digital dipercayai hasil samun kumpulan itu sebelum ini.

Katanya polis turut merampas senjata dan peralatan yang digunakan untuk memecah rumah termasuk empat bilah parang, pemutar skru, tiga alat pemotong besi, empat topeng muka dan sebilah keris.

Kereta yang digunakan dalam kes samun itu dilaporkan hilang di Klang pada 23 April 2008, milik seorang wanita yang beralamat di Kedah.

Narenasegaran berkata kumpulan itu dipercayai bertanggungjawab terhadap 20 kes samun dan pecah rumah yang berlaku antara Januari dan Jun tahun ini di Temerloh, Maran, Bentong, Jerantut, Bera dan Raub.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger