SHAH ALAM 19 Julai - N Surendran, peguam kepada bekas Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia, N Thamendran yang dituduh bersubahat mencuri enjin jet pejuang F-5e milik TUDM menyifatkan sistem perundangan negara ini tidak mampu menjamin warga daripada ancaman terhadap kebeasan dan keselamatan diri mereka.
Ini jelas terbukti apabila Thamendran memilih untuk berada di dalam penjara daripada diseksa dan dicabul hak kemanusiaannya di bawah TUDM.
Surendran berkata anak guamnya hari ini meminta dirinya dipenjarakan semula di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menolak permohonan beliau untuk mendapatkan perintah perlindungan bagi dirinya.
Thamendran yang gagal dalam permohonan itu berkata beliau lebih sanggup dimasukkan ke dalam penjara daripada diseksa lagi oleh pihak TUDM.
Surendran yang dihubungi Suara Keadilan berkata pihak TUDM ingin 'menahan' anak guamnya dan berikutan itu beliau lebih rela ditahan di penjara.
"Tidak pernah dalam sejarah negara, seseorang yang mendapat jaminan untuk bebas rela masuk balik ke dalam penjara.
"Ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem perundangan negara kita yang menyebabkan Thamendran tidak mahu bebas seperti manusia biasa," tegas beliau.
Menurut Surendran, pihaknya percaya Thamendran telah dikambinghitamkan kerana menurutnya, tidak masuk akal jika dua individu termasuk anak guamnya mampu mencuri enjin tersebut dan menghantarnya hingga ke Uruguay di Amerika Selatan.
Apabila ditanya adakah anak guamnya itu bersalah, beliau berkata Thamendran tidak bersalah dan sebab itu beliau minta dirinya dibicarakan.
Petang tadi, Tharmendran membatalkan ikat jamin terhadap dirinya selepas mahkamah menolak permohonannya untuk mendapatkan perintah perlindungan.
Sebelum itu, permohonan perintah perlindungan difailkan di sebuah balai polis berhampiran.
Kehadiran dua pegawai TUDM yang berada di perkarangan mahkamah mengusarkan peguam Tharmendran yang bimbang terhadap keselamatan anak guamnya itu.
Berikutan pembatalan ikat jamin itu, Tharmendran akan kembali ke Penjara Sungai Buloh - dua minggu selepas dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000.
Tharmendran dituduh mencuri dan bersubahat mencuri dua enjin jet daripada Pangkalan Tentera Udara Subang pada Disember 2007.
Sementara itu, Surendran mendakwa terdapat cubaan daripada pihak TUDM untuk menangkap anak guamnya itu untuk dibawa balik ke Pangkalan TUDM 16 Julai lalu.
Menurutnya, beberapa kakitangan TUDM yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita muncul di rumah Tharmendran di Seremban Jumaat lalu bertanyakan tentang "lapor diri ke kem".
"Ibu bapanya bagaimanapun berkata mereka tidak tahu di mana anaknya berada selepas meninggalkan rumah akhir-akhir ini untuk menetap di tempat lain.
"Perkara ini serius kerana tertuduh bukan lagi Sarjan TUDM dan sudah meletakkan jawatan 28 Mei lalu," tambah Surendran.
Pihak pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwa raya Ishak Muhamad Yusof.
Mahkamah sesyen menetapkan 6 September sebagai tarikh sebutan kes dan sambungan perbicaraan.
Hadir pada perbicaraan ini adalah tertuduh bersama K Rajandran Prasad, yang diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo.
Home »
» Sistem Perundangan Negara Gagal Jamin Hak Keselamatan Warga
Sistem Perundangan Negara Gagal Jamin Hak Keselamatan Warga
Written By canang on Selasa, 20 Julai 2010 | 7/20/2010 01:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan