Home » » Taktik 3 beradik;Adik goda, kakak ugut

Taktik 3 beradik;Adik goda, kakak ugut

Written By canang on Sabtu, 24 Julai 2010 | 7/24/2010 02:00:00 PTG

JOHOR BAHRU: Adik goda, dua kakak peras ugut. Itulah taktik digunakan tiga beradik perempuan mendapatkan wang secara mudah daripada lelaki sasaran mereka.
Si adik bekerja pelayan pelanggan (GRO), manakala dua kakaknya berperwatakan tomboi saling bekerjasama melakukan pelbagai perbuatan keji mendapatkan wang cara mudah mengikis dan mengugut lelaki menjadi mangsa mereka.

Difahamkan, sehingga kini sekurang-kurangnya lima lelaki menjadi ‘hamba’ tiga beradik itu selepas hanyut dalam godaan si GRO dan sanggup mengeluarkan wang demi memastikan rahsia mereka menjalin hubungan sulit tidak dibongkar si tomboi kepada keluarga masing-masing.

Taktik adik-beradik itu si GRO menggoda dan memerangkap mangsa, manakala si tomboi mengugut ahli keluarga mangsa tidak masuk campur atau berdepan tindakan ‘ganas’ mereka.

Menurut wanita yang mahu dikenali sebagai Effa, 46, anak sulungnya, Iwan, 24, menjadi mangsa tiga beradik itu selepas berkenalan dengan GRO terbabit menerusi rakan sekerja dan sejak itu sikapnya jauh berubah.

“Iwan bertugas sebagai jurutera d syarikat perkapalan dan dalam tiga minggu selepas berkenalan dengan GRO itu, perangainya berubah daripada anak yang baik kepada lupa segala-galanya.

“Dalam tempoh berkenaan, Iwan sanggup menghabiskan wang simpanan ribuan ringgit, selain berhutang kad kredit bagi memastikan kebahagiaan GRO terbabit,” katanya kepada Harian Metro.

Effa berkata, akibat mabuk cinta dengan GRO terbabit, Iwan dibuang kerja Mei lalu berikutan kerap ponteng semata-mata mahu menghabiskan masa dengan perempuan murahan terbabit.

Katanya, mereka sekeluarga tidak pernah menikmati hasil titik peluh daripada pekerjaan pertama Iwan dan beranggapan ijazah diperoleh anaknya hasil pengajian selama lima tahun tidak bermakna kerana dia melupakan segala tanggungjawab.

“Namun, demi masa depan Iwan, saya dan suami sanggup bersemuka dan menghubungi GRO itu untuk menasihatinya supaya menamatkan hubungan, selain mengelak anak kami terjebak dalam kancah maksiat.

“Kami tidak menyangka GRO itu dinaungi dua kakaknya berperwatakan seperti lelaki yang turut bersubahat. Tiga beradik terbabit tiba-tiba muncul di depan rumah kami dan berlagak samseng termasuk meludah serta memarahi saya dengan katakesat,” katanya.
Menurut Effa, tiga beradik terbabit turut memaki-hamunnya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar hingga ia menimbulkan tekanan.

Mereka mencabar Iwan meninggalkan keluarga, selain memberi peringatan kepada Effa sekeluarga supaya tidak masuk campur urusan mereka.

“Selepas mengetahui helah ketiga-tiga beradik itu, saya membuat laporan di Balai Polis Tampoi awal bulan lalu kerana bimbang keselamatan Iwan yang kini menjadikan kediaman kami seperti rumah tumpangan,” katanya.

Effa turut terkejut apabila mendapat tahu untuk membiayai kehidupan, tiga beradik terbabit mempunyai hubungan dengan sekurang-kurangnya lima lelaki, ada yang bujang dan ada juga berkahwin.

Katanya, lelaki yang terjerat dengan perangkap tiga beradik itu membiayai rumah, kereta, bil elektrik dan air hinggalah perbelanjaan bulanan mereka dan sejak Iwan kehilangan kerja, dia dilayan seperti pemandu kepada tiga beradik terbabit.

“Iwan seolah-olah berada di bawah pengaruh syaitan apabila sanggup melanggar saya menggunakan kereta GRO terbabit hingga cedera ringan, pada 25 Jun lalu.

“Bagaimanapun, Tuhan seperti mahu membalas kejahatan tiga beradik itu apabila GRO terbabit ditahan dalam operasi Jabatan Agama Johor (JAJ) di sebuah kelab malam, sehari selepas kejadian,” katanya
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger