Home » » Bapa dakwa anak dipukul polis ketika lari sekatan

Bapa dakwa anak dipukul polis ketika lari sekatan

Written By canang on Ahad, 29 Ogos 2010 | 8/29/2010 04:00:00 PTG

KOTA BAHRU 28 Ogos - Seorang bapa mendakwa anak lelakinya mengalami kecederaan parah di kepala dan muka setelah dipukul seorang anggota polis menggunakan sebatang kayu ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi pada 20 Ogos lalu, Muhammad Raimie Riduan, 15, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Galang, Pulai Chondong selepas keluar minum bersama rakannya di Ketereh.

Bapa mangsa, Riduan Zawawi, 43, mendakwa, anaknya itu membonceng motosikal yang ditunggangi rakannya sebelum terserempak dengan beberapa anggota polis yang sedang mengadakan sekatan jalan raya berhampiran Sekolah Kebangsaan Ketereh.

"Menurut rakan anak saya, Awi yang menunggang motosikal itu, mereka berdua segera membuat pusingan U untuk mengelak daripada ditahan kerana tidak memakai topi keledar.

"Tiba-tiba, seorang anggota polis meluru dan cuba memukul Awi, namun dia sempat mengelak. Kayu itu terkena kepala anak saya yang kemudian terus terjatuh daripada motosikal dan mengalami kecederaan," dakwanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Riduan, selepas mendapati Muhammad Raimie terjatuh, Awi segera memecut motosikal dan melarikan diri sementara orang ramai yang berada di gerai makan berhampiran telah menghantar anaknya ke Klinik Kesihatan Ketereh.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu teksi mendakwa, dia menerima panggilan daripada isterinya kira-kira pukul 3.30 pagi memaklumkan mengenai kejadian itu dan bergegas ke klinik tersebut.

"Akibat kecederaannya yang serius, anak saya dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana kecederaan teruk di kepalanya.

"Ketika dirawat di HUSM, anak saya terpaksa dibedah dua kali untuk mengeluarkan darah beku dalam otak selain kecederaan pada muka, tangan dan lutut akibat terjatuh," dakwanya.

Berikutan kejadian itu, Riduan membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan anggota polis terbabit yang menyebabkan anaknya mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan memberitahu siasatan sedang dijalankan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas anggota polis terbabit sekiranya siasatan mendapati dakwaan tersebut benar.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger