Home » » Eksploitasi Isu Surau Al Huda Akan Memakan Diri Umno

Eksploitasi Isu Surau Al Huda Akan Memakan Diri Umno

Written By canang on Selasa, 31 Ogos 2010 | 8/31/2010 01:00:00 PTG

SHAH ALAM 29 Ogos - Tindakan Umno mempolitikkan isu kehadiran Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching di Surau Al Huda baru-baru ini dilihat akan menyuburkan pendirian fanatik melulu di kalangan orang Islam yang kurang berilmu.
Malah Pengerusi Biro Pemahaman & Pemantapan Agama (Bippa) Parti Keadilan Rakyat, Dr Muhd Nur Manuty memberi amaran kekecohan yang digembar-gemburkan oleh Umno akhirnya akan memakan tuan.

"Inilah gambaran kegagalan Umno selama ini dalam mendidik rakyat mengenai hakikat Islam. Lebih menghinakan apabila berita mengenainya ditokok tambah dengan pelbagai fitnah baru demi mencapai matlamat politik sempit yang diperjuangkan.
"Kita sentiasa mengingatkan bahawa umat Islam tidak boleh merelakan diri mereka terus dibelenggu dalam kerangka pemikiran sempit politik perkauman dan agama ala Umno ini. Ini akan menjadikan kita semakin lesu dan masyarakat bukan Islam pula semakin menjauh dari kita.
"Yakinlah bahawa, kerja mereka ini akan menjadi sia-sia seperti mencari umbut di dalam batu. Hakikatnya, tanpa mereka jangka, krisis yang mereka wujudkan ini akan menjadikan orang Melayu dan masyarakat Islam lebih memahami agamanya secara total dan lebih berkeyakinan bahawa Islam dan masyarakat Melayu akan lebih terjamin di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat pada masa depan," kata Dr Muhd Nur dalam satu kenyataan media semalam.
Dr Muhd Nur yang juga Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat menegaskan Umno sebagai sebuah parti perkauman yang mengamalan politik mengadu dombakan rakyat berbilang kaum di negara ini akan menggunakan apa sahaja hatta senjata rasis untuk mengekalkan kuasa.
"Bagaikan menahan lukah di pergentingan, Umno dan para kuncunya tidak habis-habis menerkam apa jua kesempatan dan isu sebagai modal mempertahan survival politik perkauman mereka.
"Seperti biasanya, bagaikan jerat sudah mengena, Umno dan para pendokongnya mengambil kesempatan ke atas tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat bukan Islam yang telah memasuki masjid dan surau baru-baru ini," kata beliau lagi.
Bekas Presiden Angkatan Belia Islam (Abim) itu juga mengingatkan rakyat Umno sebelum ini juga mengeksploitasi ucapan Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar dewan utama sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang pada Ogos 2009.
Begitu juga ketika Ahli Parlimen Selayang, William Leong masuk ke dalam Masjid At-Taqwa, Selayang Baru juga dijadikan isu politik oleh Umno bagi memecah belahkan masyarakat.
Sehubungan itu Dr Muhd Nur melontar pandangan mengenai isu orang bukan Islam memasuki masjid atau surau dari perspektif fiqh (hukum hakam Islam).
"Sekurang-kurangnya ada empat pandangan mengenai masalah ini.
"Pertamanya: Mazhab Hanafi yang membenarkan bukan Islam memasuki semua masjid.
"Keduanya: Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan masjid Haram dan kawasan tanah haram Makkah.
"Ketiganya: Mazhab Hanbali yang membenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah.
"Akhirnya, Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana darurat kerja" jelas Dr Muhd Nur.
Beliau juga menghuraikan beberapa peristiwa di zaman Rasulullah (SAW) juga boleh dijadikan panduan untuk memahami dengan lebih jelas berhubung perkara ini.
"Baginda pernah membenarkan ramai orang-orang bukan Islam masuk dan tinggal lama di masjid. Rasulullah juga diriwayatkan pernah menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid dan nabi menyebut kepada sahabat: "Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)"
"Kepelbagaian pandangan ini menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini.
"Hakikatnya, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti keperluan mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.
"Oleh yang demikian, kami berpendirian bahawa adalah tidak wajar bagi siapa jua untuk menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas-nasnya dan dalil-dalilnya.
"Apatah lagi jika kita sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi umat Islam di Negara ini," kata Dr Muhd Nur.
Beliau berkata sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid ini adalah bertentangan dengan semangat yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat-syarat yang telah ditentukan.
Tambahnya, amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain.
"Ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan pemahaman mereka kepada agama Islam, mengelakkan salah faham dan menjana interaksi yang harmoni dalam perhubungan di antara umat Islam dan bukan Islam.
Sewajarnya, para wakil rakyat Pakatan Rakyat demikian perlulah diberikan pujian kerana kesungguhannya dalam menjalankan tugasnya dengan baik kepada masyarakat majmuk di negara ini.
"Apatah lagi ia memang telahpun mendapat kebenaran pihak pengurusan masjid dan dilakukan pula atas tanggungjawab mereka sebagai wakil Kerajaan Negeri Selangor.
"Inilah keyakinan kita kerana Islam itu tinggi dan merupakan agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam," ujar Dr Muhd Nur.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger