KUALA LUMPUR: Seorang ibu mendakwa anak gadisnya telah dibawa lari ke Afrika Selatan oleh orang yang tidak dikenalinya pada Isnin lepas dan bimbang anaknya itu dijadikan keldai dadah.
Roslah Abdul Jani berkata anaknya Nur Dhiya Ain Rosman yang dikenali sebagai Baby, 19, telah menghubunginya kira-kira pukul 1.30 pagi Isnin lepas bagi memaklumkan kepadanya yang dia akan terbang ke Afrika Selatan pada 2.50 pagi.
"Dia telefon saya dalam keadaan tergesa-gesa dan beritahu yang dia sekarang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki pesawat ke Afrika (Selatan) dengan kawannya orang Afrika dan akan pulang tiga hari selepas itu (Khamis)," katanya pada sidang berita di Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno di sini, Khamis.
Roslah berkata pada masa itu beliau sedang dalam perjalanan dari Melaka ke rumahnya di Brickfield dan tidak sempat bertanyakan lebih lanjut tujuan anaknya ke sana kerana dia terus mematikan telefon bimbitnya. Beliau terus menghubungi pihak KLIA bertanyakan penerbangan pagi itu dan dimaklumkan terdapat sebuah pesawat akan ke Cape Town, Afrika Selatan yang transit di Doha, Qatar.
Beliau yang telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields berkata, baby merupakan anak kedua dari empat orang adik-beradik tidak mempunyai pasport dan surat beranaknya juga disimpan oleh Roslah.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid memberitahu Bernama pihaknya telah menerima laporan itu dan kes tersebut diklasifikasi sebagai 'orang hilang'.
Roslah turut bimbang mengenai anaknya, yang bukan sahaja tidak fasih berbahasa Inggeris, malah mempunyai masalah kesihatan 'Acute Hypertension' (tekanan darah tinggi) di mana apabila diserang penyakit itu, anaknya akan pengsan dalam beberapa jam.
Oleh sebab itu, beliau tidak membenarkan anaknya keluar tanpa pengawasannya, dan akibat penyakitnya itu, anaknya juga tidak bekerja dan mempunyai wang, katanya.
Roslah juga berkata rakan anaknya memaklumkan kepadanya seminggu sebelum kejadian itu, mereka melihat mangsa akrab dengan beberapa warga asing yang dipercayai warga Afrika.
Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO Datuk Muhd Khairun Aseh berkata pihaknya percaya kes itu mempunyai kaitan dengan sindiket dadah yang menggunakan gadis remaja untuk membawa dadah dari negara ini ke Afrika Selatan.
Muhd Khairun berkata beliau akan cuba mendapatkan bantuan dari Wisma Putra, Interpol dan wakil-wakil Malaysia yang berada di benua Afrika untuk menjejaki gadis tersebut.
Beliau berkata kerajaan perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas untuk menangani isu ini yang dianggotai oleh semua agensi yang mengawal pintu keluar-masuk negara ini, seperti Jabatan Imigresen dan pihak penerbangan bagi mengelakkan perkara ini berulang.
"Saya juga ingin menasihatkan rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati tentang sindiket ini yang lebih lama lebih licik menggunakan pelbagai taktik yang tidak berperikemanusiaan ini," katanya. - BERNAMA
Home »
» Gadis 19 Tahun Dipercayai Jadi Keldai Dadah Dibawa Ke Afrika, Dakwa Ibu
Gadis 19 Tahun Dipercayai Jadi Keldai Dadah Dibawa Ke Afrika, Dakwa Ibu
Written By canang on Jumaat, 13 Ogos 2010 | 8/13/2010 08:00:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan