KECEWA tidak dapat bersua pada jarak dekat apatah lagi bergambar dengannya. Itu keluhan kebanyakan orang khususnya pihak media dan orang-orang kenamaan yang berkumpul di bilik makan malam eksklusif di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selepas pelancaran filem, Enthiran baru-baru ini.
Ia sekali gus membantutkan usaha pihak media daripada terus mengorek cerita daripada bekas Ratu Dunia itu berkenaan filem tersebut atau apa sahaja berkaitan mengenai dirinya.
Malah, kedatangan Aishwarya juga dirahsiakan oleh pihak penganjur sehinggalah dia membuat penampilan khas dari belakang pentas menjadikan dia figura yang dijaga rapi tanpa pendedahan langsung kepada media ataupun orang ramai.
Tampil di atas pentas selepas separuh perjalanan majlis pelancaran audio filem termahal di India yang menampilkan lakonan utama bintang veteran Rajinikanth itu, kemunculan Aishwarya seolah-olah mengatasi populariti tenaga penting filem itu termasuk Rajinikanth sendiri.
Jika Rajinikanth dan nama-nama penting filem itu termasuklah pemenang Oscar, komposer A.R. Rahman, penulis lirik lagu tersohor India, Vairamuthu, taikun syarikat kabel televisyen India, Sun TV, Kalanidhi Maran, penerbit filem, Shanker muncul pada acara karpet merah, namun kelibat Aishwarya langsung tidak kelihatan.
Sedangkan sebagai selebriti bertaraf global, Aishwarya sudah biasa menjadi daya tarikan pada acara karpet merah seperti pada Festival Filem Cannes, namun anehnya dia tidak muncul pada acara besar dan glamor untuk filem lakonannya itu.
Namun kisah di sebaliknya, Aishwarya kononnya bukan sengaja dirahsiakan kehadirannya tetapi pemilik filem ini, Sun TV mahukan Aishwarya hanya 'diperaga' di atas pentas pelancaran. Itu nilai yang diletakkan terhadap isteri aktor Abhishek Bachchan dan menantu Amitabh Bachchan itu.
Walaupun kehadirannya hanya di atas pentas, Aishwarya tetap membawa aura yang begitu kuat melalui ucapannya yang hanya dituturkan menggunakan bahasa Inggeris, sungguhpun dia boleh berbicara dalam bahasa Tamil.
PARA karyawan Enthiran hadir ke Malaysia sebagai rangka promosi filem yang menelan bajet RM19 juta itu.
Apapun syabas kepada wanita berketurunan Tullu ini kerana memulakan ucapan bukan sahaja dengan perkataan Tamil, vanakkam tetapi juga dalam bahasa Malaysia iaitu selamat petang dan apa khabar Malaysia.
Harus diakui, wanita yang sudah masak dengan pelbagai acara mega hiburan di pentas-pentas dunia serta pendedahannya berucap dalam pelbagai program dibuktikan menerusi ucapannya yang sangat lantang, fasih, bertenaga dan penuh keyakinan itu. Sesekali terlerai gelak ketawanya menjadikan pentas lebih bernyawa.
Biarpun begitu, kemunculan Aishwarya di atas pentas seolah-olah hanya untuk memuji tenaga kerja atau krew yang bertungkus-lumus membikin filem termahal di India iaitu sebanyak Rs190 juta (RM19 juta) itu.
"Saya harus mengucapkan jutaan terima kasih di atas pelancaran audio filem Enthiran yang membabitkan satu usaha yang penuh keterujaan sepanjang dua tahun pembikinannya sehingga ia ditayangkan kelak. Dan ia tentu sekali sesuatu yang sukar untuk memberi ucapan terima kasih yang pendek," ucapnya.
Terlupa Rajinikanth
Berterusan memuji setiap karyawan yang terlibat dalam pembabitan filem itu termasuk jurukamera, jurusolek, jurulatih penari, jurulatih aksi, krew-krew teknikal serta para pelakon Enthiran, namun dalam kepetahan bicaranya menyenaraikan 'orang-orang' di belakang tabir filem, Aishwarya bagaimanapun melakukan satu kesilapan besar apabila tidak menyebut nama Rajinikanth.
Selepas mengucapkan terima kasih, Aishwarya meninggalkan pentas dan baru beberapa langkah, dia berpatah balik selepas menyedari kesilapannya itu.
Selepas berlari anak kembali ke mikrofon, Aishwarya menuturkan: "Paling penting, saya simpan yang terbaik untuk disebut pada waktu terakhir ialah Rajini Sir (Rajinikanth)!"
Tambahnya: "Ia merupakan satu penghormatan besar, kepuasan, proses pembelajaran buat saya berlakon di samping anda," tambahnya sebelum mengakhiri ucapan dan benar-benar turun dari pentas.
Tidak tahu hendak menyalahkan Aishwarya atau pihak yang bertanggungjawab membawanya ke Malaysia, namun sikap diva bekas model itu terserlah sejak dia menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lagi.
Ketika itu dia dikatakan menyedari beg berwarna putih yang dipercayai mengandungi bahan-bahan kosmetiknya dikatakan hilang, sebelum dijumpai dua jam kemudian dalam jagaan salah seorang pengawal peribadinya.
Sebelum itu dia dikatakan bersikap dingin dan enggan keluar daripada bilik VIP dan berkeras mahu mendapatkan beg putihnya itu.
Bukan itu sahaja, idola kegemaran ramai itu dikatakan turut menunjukkan rasa kurang senang dengan kakitangan KLIA yang merakam gambarnya tanpa henti. Sebuah akhbar tempatan (bukan Kumpulan Utusan) melaporkan Aishwarya sebagai berkata: "Berapa banyak foto saya yang mahu mereka rakam ni?"
Jika benar bagai dilaporkan akhbar terbabit, apakah sebenarnya yang cuba ditunjukkan oleh artis bertaraf global seperti Aishwarya yang sepatutnya bersikap profesional dan menyedari status selebriti yang dimilikinya bukan tiket untuk menjadi bongkak dan berlagak diva.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan