Home » » Khalwat selepas Terawih

Khalwat selepas Terawih

Written By canang on Khamis, 19 Ogos 2010 | 8/19/2010 02:00:00 PTG

GEORGETOWN – Baru sahaja selesai solat Terawih kemudiannya sepasang kekasih dicekup pula Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAINPP) dalam satu serbuan pagi semalam.
Lelaki yang berusia 39 tahun dan bekerja sebagai operator itu bagaimanapun sudah berkahwin dan ditangkap bersama pasangannya berusia 33 tahun yang masih bujang bekerja sebagai kerani di sebuah kilang.

Ketua Unit Operasi dan Penguatkuasaan JAINPP, Khairul Azman Azizan berkata, lelaki berkenaan bertindak licik ketika diserbu Pegawai Penguat kuasa Agama (PPA) Unit Operasi JAINPP ke dalam rumah.

Menurutnya, lelaki berkenaan menyorok di bahagian balkoni luar rumah dengan ditutupi ampaian kain.

“Mungkin pada fikirannya dia bijak dan licik, tetapi dalam masa yang sama dia juga membahayakan diri kerana kedudukan balkoni sempit dan hanya mampu memuatkan pasu bunga sahaja.

“Kedudukan tingkap dan balkoni adalah pada paras leher lelaki dewasa dan sekiranya ketika dia hendak naik ke atas rumah semula dan terlepas besi katil berkenaan, memang senang saja hendak jatuh dari tingkat sembilan itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menceritakan kejadian ketika serbuan, pasangan berkenaan cuba bertindak untuk mengelirukan pihak penguat kuasa dengan melarikan diri secara merangkak ke bilik berasingan.

Kemudiannya, wanita berkenaan yang ditemui dalam sebuah bilik pada mulanya mengaku hanya tinggal bersendirian, dan ketika JAINPP meminta kunci bilik kedua, dia mengatakan tidak mempunyai kunci berkenaan.

Anggota PPA kemudiannya berjaya menjumpai kunci berkenaan di atas meja dalam rumah dan kemudiannya menemui seorang lelaki duduk dalam keadaan diam di bawah ampaian kain yang penuh.

Khairul berkata, anggotanya juga terpaksa mengambil masa 10 minit untuk masuk ke dalam rumah sebelum wanita berkenaan membuka pintu.

“Setelah dibuat pemeriksaan, lelaki dan wanita itu disahkan tidak mempunyai ikatan perkahwinan dan mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat.

“Sekiranya didapati bersalah, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

JAINPP juga bertindak atas aduan dan mula mengadakan operasi bermula jam 2.30 pagi sehingga ke jam 6 pagi.

Khairul juga menolak dakwaan bahawa JAINPP hanya memfokuskan serbuan dan operasi bagi pesalah dalan bulan Ramadan sahaja.

Sebaliknya, operasi pencegahan maksiat bagi Seksyen 27 atas kesalahan berkhalwat dan Seksyen 29 atas kesalahan berkelakuan tidak sopan di tempat awam juga akan dijalankan dengan giat sepanjang Ramadan kali ini.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger