SHAH ALAM 11 Ogos - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad membidas Pengarah Jabatan Agam Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berhubung jumlah penceramah tanpa tauliah di masjid dan surau negeri itu pada hal beliau sendiri tidak mempunyai kelayakan secukupnya untuk memegang jawatan yang disandang.
Khalid menyifatkan kenyataan Mohammed Khusrin minggu lalu berhubung perkara
tersebut berbaur politik.
Beliau berkata Mohammed Khusrin sepatutnya mempunyai kelulusan Sijil Menengah Agama sebelum menetapkan syarat untuk mengisi jawatan pengerusi masjid dan surau.
Mohammed Khusrin dipercayai hanya mempunyai kelulusan ijazah ekonomi daripada Universiti Malaya
"(Khusrin) Hendak jadi pengerusi masjid dan surau paling rendah ada kelulusan Tiga Senawi (Sijil Rendah Agama). Ini saya sokong.
"Tapi pengarah Jais paling kurang kena ada (kelulusan) Empat Senawi. Jangan awak nak sibuk dengan kelulusan pengerusi masjid kalau awak sendiri pun tak ada kelulusan.
"Nanti jadi masalah kepada pentadbiran Selangor," katanya.
Tambah Khalid, Mohammed Khusrin juga didakwa sengaja memperbesar-besarkan angka bahawa seramai 20 hingga 30 orang anggota jawatankuasa masjid di Selangor telah meletakkan jawatan setiap bulan.
"Saya pertikaikan statistik dia. Mungkin mereka rasa bertanggungjawab, mereka letak jawatan, tapi tidak sampai 20 hingga 30 orang setiap bulan.
"Dia memperbesar-besarkan angka itu untuk memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat," jelas Khalid lagi.
Sehubungan itu kata Khalid, beliau telah mengemukakan cadangan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya proses pentauliahan di negeri itu dijalankan secara telus dan lebih bertanggungjawab mengikut prosedur yang ditetapkan.
Cadangan itu, kata beliau bertujuan mengelakkan pemberian pentauliahan berlandaskan kepentingan politik.
Menurutnya, perkara berkenaan telah dimaklumkan dalam sepucuk surat kepada Sultan Selangor yang dihantar kira-kira dua minggu lalu.
"Saya telah hantar cadangan saya kepada Sultan Selangor berhubung isu tauliah dan isu enakmen bukan Islam. Dalam isu tauliah, saya meminta ketelusan supaya kita nak tentukan tidak ada kepentingan politik dalam soal pemberian tauliah.
"Saya juga cadangkan supaya orang yang memohon tauliah dimaklumkan sebab tauliahnya ditolak dalam tempoh masa sebulan sebab sekarang ada yang pohon sampai masa berbulan-bulan," katanya dalam sidang media di pejabatnya Isnin lalu.
Sekiranya gagal, katanya pemohon itu juga sepatutnya diberi peluang untuk merayu keputusan tersebut kepada Exco hal ehwal agama dan kerajaan negeri.
"Bila dia dapat surat penolakan, dia boleh merayu tetapi mesti menerusi satu mekanisme yang telus mengikut tempoh yang ditetapkan.
"Barulah ada semak dan imbang. Kalau tidak, sekarang ini kalau pengarah Jabatan Agama Islam (Jais) tidak suka (pemohon), permohonan akan ditolak ke tepi, tidak ada berita lagi selepas itu," tambah beliau.
Home »
» Khusrin Pandai Komen Pakatan Rakyat Tapi Diri Sendiri Tidak Ada Kelayakan Agama
Khusrin Pandai Komen Pakatan Rakyat Tapi Diri Sendiri Tidak Ada Kelayakan Agama
Written By canang on Khamis, 12 Ogos 2010 | 8/12/2010 01:30:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan