Home » » Pakatan Rakyat Sasar Tingkat Pendapatan Isi Rumah Daripada RM2,300 Kepada RM4,000 Sebulan

Pakatan Rakyat Sasar Tingkat Pendapatan Isi Rumah Daripada RM2,300 Kepada RM4,000 Sebulan

Written By canang on Ahad, 22 Ogos 2010 | 8/22/2010 10:30:00 PG

PETALING JAYA 21 Ogos - Pakatan Rakyat meletakkan sasaran sebanyak RM4,000 pendapatan isi rumah bagi setiap keluarga sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya sekiranya mendapat mandat dari rakyat pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar ekonomi negara harus menjurus kepada kepentingan majoriti rakyat yang memberi kebaikan kepada golongan Bumiputera serta kaum lain, dan bukannya memperkayakan segelintir kecil kroni yang berkepentingan.

"Sebab itulah Parti Keadilan Rakyat mempertahankan pandangan bahawa matlamat kita ialah mencapai pendapatan (isi rumah) minima RM4,000 sebulan sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran dan pandangan ini akan kita kemukakan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang akan datang," katanya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana bagi mengupas Pelan Transformasi Ekonomi yang dikemukakan Jabatan Perdana Menteri Khamis lalu.

Anwar sebelum itu membidas kerajaan yang mendabik dada dengan mengumumkan kadar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 8.9 peratus bagi suku tahun kedua yang kononnya memberangsangkan.

"Cuma saya nak ingatkan pertumbuhan ini harus dilihat berdasarkan pengucupan tahun lalu iaitu 1.7 peratus pada 2009. Bila kita sebut kadar pertumbuhan ia mesti relatif dengan kadar pertumbuhan tahun sebelumnya. Sebab itu kita lihat perkembangan di Indonesia dan Singapura, lonjakan pertumbuhan itu lebih menyakinkan," ujar mantan Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu.

Menurutnya, Malaysia hanya mencatatkan sekitar 6.0 peratus unjuran pertumbuhan berbanding Singapura yang mencatat unjuran pertumbuhan 13.0 hingga 15.0 peratus manakala Indonesia juga memberangsangkan iaitu sebanyak 6.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kata Anwar lagi, permasalahan rakyat adalah berhubung pengurusan kerajaan dan faedah langsung yang diperolehi rakyat melalui urustadbir kerajaan yang baik.

Beliau mempersoalkan samada catatan kadar pertumbuhan yang digembar gemburkan itumemberi kesan positif kepada rakyat terbanyak.

"Kos sara hidup meningkat yang amat memperihatinkan kita. 2.4 juta keluarga iaitu 40 peratus daripada keluarga dalam negara mencatat pendapatan kurang daripada RM2,300. Kita telah sebut angka ini, di kalangan yang paling miskin di negara kita 75 peratus adalah di kalangan masyarakat Melayu dan Bumiputera," jelas Anwar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, dasar Pakatan Rakyat adalah konsisten menjamin pengurusan kerajaan yang lebih cekap, mengelakkan rasuah, pembaziran dan penganugerahan kontrak kepada kroni tanpa tender.

"Daripada pendapatan yang lebih itu dapat diagihkan dengan adil dan menjamin pendapatan minima bagi rakyat iaitu sebanyak RM4,000 bagisatu keluarga.

"Sebab itu kami masih bertegas untuk menganjak pemikiran lama tentang ekuiti 30 peratus Bumiputera kepada satu dasar yang lebih telus dan adil yang memberi manfaat kepada majoriti Bumiputera dan kaum lainnya supaya tidak ada masyarakat Melayu dan Bumiputera terperangkap dalam belenggu kemiskinan dan dalam masa yang sama menjamin keselesaan hidup bagi masyarakat Cina, India dan lain-lain.

"Ini merupakan prinsip utama dalam dasar pertumbuhan dan ekonomi yang dikemukakan oleh Parti Keadilan Rakyat yang juga menjadi garis utama dalam Pakatan Rakyat," tegas beliau lagi.

Menurut Anwar, kadar pertumbuhan pendapatan dalam tempoh sepuluh tahun di Malaysia adalah 2.6 peratus berbanding 10 peratus peningkatan kadar upah di Indonesia dari 2007 hingga 2009.

"Jadi angka yang cuba dilontarkan bagi mengaburi kenyataan dan memukau pemikiran tidak boleh menyangkal kenyataan terutama dalam permasalahan kemiskinan. Kita lihat dua per tiga pendapatan penduduk kurang daripada RM4,000 sebulan," ujarnya.

Menurut Anwar, kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional selama ini mempergunakan Dasar Ekonomi Baru yang hasilnya memperlihatkan segelintir golongan kroni yang mendapat kontrak ekonomi besar.

"Ada juga tauke Cina yang menjadi 'multi-millionaire' ketika kerajaan melaksanakan DEB. Kita tidak mewakili pandngan sedemikian kerana bagi kita dasar ekonomi negara mesti menjurus kepada ekonomi majoriti rakyat, bukan memperkayakan segelintir kecil," tegas beliau.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger