Home » » Pembunuhan adik: Lingam tawar RM50,000

Pembunuhan adik: Lingam tawar RM50,000

Written By canang on Isnin, 9 Ogos 2010 | 8/09/2010 01:13:00 PG

KUALA LUMPUR – Keluarga peguam Datuk V.K. Lingam menawarkan ganjaran RM50,000 kepada pemberi maklumat yang dapat membawa kepada penangkapan suspek dalam kes pembunuhan adik lelakinya, Rajendram Velupillai, di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Puteri Puchong, Selasa lepas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Lingam berkata, mereka sekeluarga berasa sangat sedih dan terperanjat dengan pembunuhan Rajendram, 52, yang terkenal sebagai seorang yang alim dan gemar melakukan kerja-kerja di kuil.

"Kami sekeluarga dengan ini menawarkan RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat kepada polis sehingga tertangkapnya suspek yang terlibat dalam pembunuhan Raj (Rajendram),” katanya.

Menurut laporan, Rajendram dipercayai mati kira-kira pukul 3 pagi selepas dipukul tiga lelaki rentetan pertengkaran di sebuah kuil.

Laporan itu yang memetik sumber berkata, tiga lelaki berkenaan menuduh Rajendram mencuri duit tabung kuil dan mula memukulnya.

Semalam, media melaporkan polis telah menahan seorang suspek berusia 30 tahun dan sedang mengesan dua lagi yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

Mengulas mengenai tuduhan terhadap Rajendram, Lingam berkata, pihak pengurusan Kuil Avdiar Muniswarar di Bandar Puteri Puchong telah mengesahkan mendiang tidak terlibat.

"Mereka mengesahkan Raj tidak terlibat dalam sebarang kecurian membabitkan sumbangan kepada kuil sepanjang tempoh dua minggu setengah mendiang tinggal di sana.

"Mereka juga mengesahkan kutipan kuil sepanjang tempoh itu kurang daripada RM50, dan dikendalikan sepenuhnya oleh bendahari kuil,” katanya. – Bernama


Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger