Home » » Sikap Rasis Pengetua Hasil Kerja Apco

Sikap Rasis Pengetua Hasil Kerja Apco

Written By canang on Isnin, 23 Ogos 2010 | 8/23/2010 02:00:00 PTG

Sikap rasis seorang pengetua wanita sebuah sekolah di Johor yang didakwa menghamburkan cemuhan berbaur perkauman adalah hasil gagasan 1 Malaysia yang dipertanggungjawabkan Perdana Menteri kepada firma komunikasi pro Zionis-Israel, Apco Worldwide dengan bayaran sebanyak RM77 juta.

Mengulas perkara ini, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid berkata kejadian tersebut menunjukkan Umno-Barisan Nasional gagal mendidik rakyat menghayati Rukun Negara.

Ini dilihat apabila parti komponen BN, MCA dan badan bukan kerajaan, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengeruhkan keadaan dengan membawa isu perkauman.

"Satu tindakan yang tegas harus dikenakan terhadap individu yang cuba menyemarakkan api perkauman. Saya rasa apa yang sedang dilakukan Najib tidak lain dan tidak bukan adalah provokasi untuk mengadakan satu lagi operasi lalang dengan tujuan untuk menangkap pemimpin Pakatan Rakyat.

"Kenyataan Presiden MCA tempoh hari seperti meludah ke muka Perdana Menteri tetapi apa yang menghairankan Najib hanya membisu seribu bahasa tanpa mengambil apa-apa tindakan.

"Inilah hasil yang lahir daripada gagasan 1 Malaysia ciptaan Apco yang akhirnya menghuru-harakan keharmonian dan ketenteraman negara. Ini mungkin percubaan Umno-Barisan Nasional untuk memerangkap rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat.

"Pada pendapat saya Najib adalah bapa perpecahan perpaduan. Beliau bukan sahaja bacul dan tidak cerdik tetapi sengaja mahu memerangkap Pakatan Rakyat. Kita sudah tahu taktik Najib yang sebenar," tegas Abdullah Sani kepada Suara Keadilan.

Sebelum itu, pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, Siti Insyak Mansor didakwa menghina pelajar bukan Melayu termasuk menyamakan pelajar India yang memakai kalung sembahannya seperti anjing dan mengarahkan pelajar Cina dan India yang kurang berpuas hati supaya 'pergi balik China atau India'.

Awal tahun ini, bekas Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar meletakkan jawatannya berikutan kenyataan berunsur perkauman yang dibuatnya pada seminar 1Malaysia di Melaka.

Bagaimanapun, tidak ada tindakan undang-undang dikenakan terhadap pengetua atau Nasir di bawah Akta Hasutan 1948 bagi kesalahan membangkitkan sentimen perkauman.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger