Home » » Tak tahan diratah abang

Tak tahan diratah abang

Written By canang on Ahad, 29 Ogos 2010 | 8/29/2010 12:00:00 PTG

KOTA BHARU: Akibat tidak sanggup lagi menjadi mangsa kerakusan abang kandung yang meratah tubuh mereka, tiga beradik nekad melarikan diri dari rumah di Kampung Saador, Pantai Senok, dekat sini, petang kelmarin.
Ketika umat Islam sibuk bersiap menyediakan juadah berbuka puasa, tiga beradik terbabit yang berusia 5, 14 dan 16 tahun itu melarikan diri sebelum mencari perlindungan sementara di Masjid Kota Jembal, dekat sini.

Seorang ahli kariah masjid itu, Abdullah Harun ternampak tiga beradik terbabit termasuk seorang daripada mereka yang berpakaian seragam sekolah dalam keadaan kepenatan ketika berjalan berhampiran kawasan masjid itu kira-kira jam 8 malam.

Simpati nasib tiga beradik itu, Abdullah membawa mereka ke rumahnya untuk berbuka puasa sebelum ke rumah Penghulu Kampung Tok Ku, Mat Rani@Abdul Ghani Ibrahim, 61, dekat sini, bagi mencari jalan penyelesaian selepas mendengar kisah sedih mereka.

Tiga beradik itu memberitahu mereka lari dari rumah kerana tidak sanggup dirogol berulang kali oleh abang kandung berusia 18 tahun. Mereka kematian ibu sejak lima tahun lalu dan tinggal bersama ayah yang menagih dadah dan pemabuk. Abang yang merogol mereka turut menagih dadah.

Selepas lima jam mendapatkan perlindungan di rumah penghulu kampung itu, tiga beradik terbabit dibawa seorang anggota polis wanita ke balai polis untuk direkodkan kenyataan.

Mangsa yang berusia 14 tahun mendakwa, abangnya merogolnya 20 kali dan kakak serta tiga adik perempuannya yang lain juga pernah menerima nasib sama.

“Malah, abang juga tergamak merogol seorang adik perempuan kami yang berusia lima tahun,” dakwanya ketika ditemui di rumah Mat Rani, malam kelmarin.

Menurut remaja itu, dia nekad meninggalkan rumah kira-kira jam 2.10 petang kelmarin bersama kakaknya yang berusia 16 tahun dan adik, lima tahun.

“Itu saja peluang yang ada. Ketika itu, kami terserempak ayah yang mabuk sambil memegang sebatang kayu. Tanpa berlengah dan kerana bimbangkan keselamatan diri, kami segera meninggalkan rumah.

“Kami tak tahu apa nasib dua adik perempuan lain berusia 12 dan 9 tahun kerana mereka berdua bersekolah ketika kejadian dan berharap kedua-duanya selamat,” katanya sambil memeluk adik bongsunya.

Menurutnya, mereka tiga beradik berjalan menuju rumah ibu saudara di Tumpat untuk mendapatkan perlindungan meskipun menyedari jaraknya terlalu jauh.

“Saya tiada pilihan kecuali menyelamatkan diri dari rumah itu. Dapat membawa keluar kakak dan adik sudah cukup. Dalam keadaan berpuasa, kami gagahkan diri untuk cuba sampai ke rumah ibu saudara.

“Kami tak sangka ketika dalam perjalanan ke Tumpat, seorang pak cik memanggil kami untuk berbuka puasa kerana melihat keadaan kami yang terlalu lesu,” katanya.

Dia yang juga anak ketiga daripada enam beradik bersyukur kerana dihantar ke rumah penghulu kampung berkenaan sementara menunggu polis membawa mereka ke rumah kebajikan.

Remaja terbabit juga berkata, dia terpaksa mencari rezeki dengan mengambil upah membasuh pinggan di kedai makan untuk menanggung perbelanjaan keluarga.

“Ibu sudah lima tahun meninggal dunia dan ayah tidak menjalankan tanggungjawabnya selain menagih pil kuda serta kerap mengambil minuman keras manakala abang sulung pula terbabit penyalahgunaan dadah.

“Walaupun masih bersekolah, beban menyara adik-beradik terpaksa saya pikul dengan mencari kerja di kedai makan sebagai pencuci pinggan mangkuk dengan upah RM10,” katanya yang kadangkala terpaksa menyerahkan sebahagian upahnya itu kepada bapa untuk digunakan membeli minuman keras.

Katanya, meskipun ketika ini abangnya sudah lebih seminggu berada di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok selepas ditahan bersabit penyalahgunaan dadah, dia tetap diselubungi kebimbangan apabila melihat tindakan agresif bapanya ketika mabuk, kelmarin.

“Sebelum ini ada laporan polis dibuat saya bersama ayah di balai polis mengenai abang kandung kerana terbabit dadah, tapi saya takut melaporkan kejadian rogol berikutan diugut abang.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila ayah tiba-tiba mahu memukul saya dengan menggunakan kayu kerana tidak puas hati dengan laporan itu, sedangkan kami sama-sama ke balai berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Yahya Salleh mengesahkan menerima laporan kes itu dan siasatan dijalankan.

“Seorang suspek berusia 18 tahun yang sudah ditahan sebelum ini, kini disoal siasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,”
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger