KUANTAN: Kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan esok tidak begitu dirasai penduduk dan warga bandar ini berikutan tidak banyak aktiviti berkaitan kemerdekaan diadakan di negeri ini.
Selain pelancaran kempen mengibar Jalur Gemilang di Stadium Darul Makmur, 6 Ogos lalu dan penyerahan bendera kepada wakil jabatan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, tiada lagi acara sambutan diatur.
Tinjauan Edisi Timur ke beberapa jalan utama di bandar ini mendapati sambutan di kalangan peniaga agak dingin dengan hanya beberapa premis mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang tetapi kebanyakannya tidak mengendahkannya.
Bukan hanya premis swasta yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang, malah bangunan agensi dan jabatan kerajaan juga hanya dihias ‘ala-kadar’ berbanding sambutan tahun sebelumnya.
Mungkin ada yang mengaitkan dengan ketibaan Ramadan yang menyebabkan sambutan tidak begitu dirasai sebaliknya orang ramai lebih tertumpu kepada persiapan menyambut Aidilfitri.
Tinjauan di pusat bandar ini juga yang menjadi tumpuan orang ramai juga tidak semeriah sambutan pada masa lalu kerana bilangan Jalur Gemilang yang dipasang boleh dikira dengan jari.
Seorang ahli perniagaan, Muzamel Mohd Idris, 32, berkata beliau turut merasakan sambutan pada tahun ini tidak begitu meriah kerana tidak banyak Jalur Gemilang dipasang di lokasi strategik.
“Sepatutnya lebih banyak bendera dipasang kerana ia bukan saja mencantikkan pemandangan dan menimbulkan suasana perayaan tetapi dapat menaikkan semangat patriotik di kalangan rakyat.
“Perayaan ulang tahun kemerdekaan hanya disambut setahun sekali dan seharusnya ia menjadi acara yang meriah. Jika nak dikaitkan dengan Ramadan ia sepatutnya tidak boleh dijadikan alasan,” katanya.
Seorang kakitangan swasta, Nurul Asyikin Jusoh, 21, dari Kampung Peramu Tanjung Lumpur turut mengakui sambutan kali ini agak dingin dan muram kerana tiada banyak aktiviti berkaitan hari kemerdekaan diadakan.
“Mungkin ada persediaan di sana sini tetapi tidak begitu ketara kerana tumpuan orang ramai ialah berbuka puasa dan berkunjung ke Bazar Ramadan,” katanya.
Rakannya, Nor Farahi Ahmad, 19, dari Perumahan Sungai Isap juga bersetuju dengan rakannya berkata, persediaan sambutan kemerdekaan tahun ini tidak begitu ketara.
“Paling jelas ialah tidak banyak bendera dipasang di jalan raya utama, apalagi pada bangunan di sekitar bandar,” katanya.
Beliau berpendapat sambutan Bulan Kemerdekaan perlu dimeriahkan dengan pelbagai acara yang dapat mengingatkan orang ramai mengenai sambutan tahunan itu.
Home »
» Tiada kibaran Jalur Gemilang
Tiada kibaran Jalur Gemilang
Written By canang on Isnin, 30 Ogos 2010 | 8/30/2010 05:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan