SHAH ALAM 9 Ogos - Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Sheikh Ismail kesal dengan kenyataan Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang dianggap merendah-rendahkan martabat anak gadis dan kaum wanita di negara ini apabila berkata kerajaan tidak perlu menghalang kehamilan di luar nikah disebabkan individu terbabit tidak serius untuk mendirikan rumahtangga.
Malahan kata Ketua Puteri Umno itu remaja yang terbabit dengan gejala sosial ini hanya memikirkan keseronokan tanpa mahu menanggung akibat daripada perbuatan tidak bermaruah itu.
Membidas kenyataan itu, Siti Aisyah berkata kerajaan sepatutnya memikirkan mekanisme mencegah gejala tersebut menerusi institusi keagamaan dan bukan hanya membiarkan remaja perempuan terus terjerumus dalam lembah kehinaan itu.
"Kita kesal dengan kenyataan Ketua Puteri Umno yang dilihat menghina anak gadis dan dan kaum wanita. Apa yang diutarakan oleh Rosnah tidak masuk akal, kita sepatutnya mencegah perbuatan mungkar itu dan bukannya memberikan sokongan dengan alasan disebabkan kadar perceraian yang tinggi maka kerajaan tidak perlu menghalang masalah sosial itu daripada berterusan.
"Kerajaan Umno-BN gagal menggunakan institusi keagamaan yang ada bagi membendung dan mengawal gejala sosial yang semakin berleluasa di negara ini," kata Siti Aishah kepada Suara Keadilan.
Tambah beliau, cadangan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam untuk membina sekolah untuk gadis mengandung di negeri itu juga bukan jalan penyelesaian yang kini melanda golongan remaja perempuan khususnya yang berumur 18 tahun ke bawah.
"Kerajaan Umno-BN tidak sepatutnya membazirkan wang rakyat membina sekolah untuk gadis hamil tetapi mencari jalan dan kaedah penyelesaian yang terbaik berlandaskan ajaran agama.
"Nampaknya idea Ketua Puteri Umno lebih teruk lagi daripada apa yang dicadangkan Ali, dan apa yang lebih parah kedua-dua idea tersebut datang dari pemimpin Umno yang kononnya memperjuangkan nasib orang Melayu dan orang Islam.
"Apa yang kita boleh katakan di sini, kerajaan Umno-BN gagal membentuk sahsiah baik di kalangan remaja di negara ini," ujar beliau lagi.
Kata Siti Aishah, Srikandi bersedia duduk semeja berbincang dengan Puteri Umno untuk menyelesaikan gejala sosial yang semakin menular di kalangan remaja perempuan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
Sehubungan itu, Ketua Wanita Umno Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula mengutuk cadangan Ketua Menteri Melaka dengan alasan perkahwinan bawah umur tidak boleh diterima di segi moral dan sosial.
"Kerajaan Negeri Melaka tidak sepatutnya menggalakkan perkahwinan di bawah umur kerana ia akan menyebabkan tanggungjawab dan beban yang berat kepada ibu bapa anak tersebut dan menyebabkan perkembangan fizikal, emosi dan psikologi kanak-kanak yang baru dilahirkan itu terbantut," ujar Shahrizat.
Home »
» Umno-BN Tidak Tahu Tangani Gejala Gadis Bawah Umur Hamil
Umno-BN Tidak Tahu Tangani Gejala Gadis Bawah Umur Hamil
Written By canang on Isnin, 9 Ogos 2010 | 8/09/2010 09:00:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan