Home » » Enam penuntut IPTA ditangkap

Enam penuntut IPTA ditangkap

Written By canang on Jumaat, 3 September 2010 | 9/03/2010 05:00:00 PTG

SUNGAI ULAR - Seramai enam pelajar lelaki yang menuntut di tahun dua di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) berusia antara 18 hingga 21 tahun dan dua remaja perempuan berusia 18 tahun bekerja di sebuah stesen minyak di Sungai Petani ditangkap kerana bersekedudukan di sebuah rumah teres satu tingkat di Bandar Seri Mahkota sekitar jam 4.30 pagi, kelmarin.

Jurucakap Pejabat Agama daerah Kulim Kedah (PADK) berkata, maklumat diterima daripada orang awam sekitar jam 4 pagi, berikutan itu dua pegawai PADK dibantu anggota polis dari Balai Polis Kulim membuat pemantauan terhadap rumah berkenaan sebelum membuat serbuan.

“Ketika pemantauan PADK mendapati terdapat sebuah motosikal di luar rumah manakala tiga motosikal berada di dalam. Curiga dengan keadaan itu, PADK dan polis meminta kerjasama penghuni di rumah itu membuka pintu.

"PADK terpaksa menunggu kira-kira 5 minit sebelum salah seorang penghuni rumah itu membuka pintu dan membuat pemeriksaan. Hasil pemeriksaan PADK menemui dua remaja perempuan di bilik tengah dan enam lelaki berada dalam rumah itu. Setelah membuat soal siasat, mereka didapati tidak mempunyai sebarang hubungan mahram,” katanya.

Menurutnya, salah seorang lelaki yang berada dalam rumah itu bertindak agresif dan membantah serbuan yang dibuat dengan mengatakan dia tidak bersalah. Selain itu, lelaki berkenaan tidak mengaku perempuan yang ada dalam rumah itu adalah teman wanita mereka. Sementara hasil pemeriksaan pesanan ringkas (SMS) dari telefon bimbit mereka mendapati ada beberapa SMS berunsur lucah.

Berikutan itu, PADK dan polis meminta kerjasama perempuan terbabit menyebut nama pasangan masing-masing. Walaupun perempuan itu menyebut nama pasangan mereka tetapi lelaki berkenaan masih tidak mengaku dan memberitahu perempuan berkenaan datang ke rumah itu untuk menumpang tidur.

“Memandangkan ada lelaki bertindak agresif, PADK dan polis terpaksa menggari mereka untuk mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini. Sekitar jam 5.35 pagi kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Kulim menaiki Van PADK untuk membuat laporan.

"Hasil keterangan daripada kedua-dua remaja perempuan berkenaan, mereka mengaku pernah melakukan hubungan seks sebelum ini dengan bekas teman lelaki mereka.

"Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 9 (3) (4) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda RM1,000 setiap seorang. Kesemua terlibat kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin dan diarahkan untuk hadir ke Mahkamah Syariah Rendah Kulim pada tarikh yang akan ditetapkan. Sekiranya mereka ingkar, waran tangkap akan dikeluarkan,” katanya.

Hasil pemeriksaan, PADK turut menjumpai VCD lucah di dalam bilik remaja perempuan berkenaan.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger