KUALA LUMPUR: Usaha mengesan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga lelaki yang hilang sejak 13 hari lepas masih menemui jalan buntu apabila tidak ada petunjuk baru diperolehi polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata sehingga hari ini tiada apa-apa perkembangan terbaru yang diterima polis bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Setakat ini tiada apa-apa maklumat terbaru. Saya berharap mereka yang mempunyai maklumat mengenai mereka agar tampil menghubungi polis bagi membantu siasatan," katanya kepada Bernama, di sini Sabtu.
Sementara itu, tinjauan di kediaman Sosilawati juga hampa apabila Bernama gagal mendapatkan komen anggota keluarga termasuk anak-anak beliau.
Bagaimanapun seorang pekerja di rumahnya yang sempat ditemui berkata sehingga hari ini anggota keluarga Sosilawati tidak menerima sebarang maklumat berhubung perkembangan terkini daripada polis.
"Keluarga (Sosilawati) tidak menerima sebarang maklumat terbaru mengenainya. Mereka juga tidak mendapat panggilan daripada polis berhubung perkara itu.
"Kesemua ahli keluarga termasuk anak-anak Sosilawati hanya beraya di sini untuk menunggu berita tentang ibu mereka. Mereka juga berharap agar tidak diganggu oleh mana-mana pihak termasuk media," katanya.
Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan mahu ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Anggota keluarga terdekat Noorhisham ketika ditemui Bernama hari ini turut menyatakan perkara yang sama.
"Kami tidak menerima apa-apa perkembangan tentang Noorhisham dari polis sehingga hari ini. Apa-pun kami serahkan pada polis untuk siasat," katanya yang enggan dikenali. - BERNAMA
Home »
» Misteri kehilangan Sosilawati: Usaha Jejaki Sosilawati Masih Menemui Jalan Buntu
Misteri kehilangan Sosilawati: Usaha Jejaki Sosilawati Masih Menemui Jalan Buntu
Written By canang on Sabtu, 11 September 2010 | 9/11/2010 11:35:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan