Unit forensik polis hari ini menemui lagi sejumlah serpihan tulang diper.cayai milik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain yang dilaporkan hilang lebih dua minggu lalu dalam operasi mencari bahan bukti di Sungai Panchau, Tanjung Sepat dekat sini hari ini.
Dalam operasi yang bermula pukul 3.30 petang dan berakhir dua jam kemudian, pasukan tersebut dilihat membawa keluar beberapa bungkusan dan salah satu daripadanya dipercayai mengandungi tulang-tulang mangsa.
Namun, para petugas media tidak dibenarkan menghampiri kawasan tersebut kecuali hanya boleh berada 100 meter dari situ.
Malah bagi mengelak kerja-kerja operasi dirakamkan, kawasan yang menjadi tempat bahan bukti dicari turut ditutup dengan kanvas.
Pengarah Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Malek Harun turut dilihat berada di lokasi tersebut bagi memantau sendiri operasi mencari bahan bukti untuk membantu siasatan.
Sebelum ini, unit forensik mengumpul sejumlah tulang dan barangan mangsa yang juga ditemui di sungai yang sama pada 12 September lalu.
Sosilawati dan tiga yang lain dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan suspek bagi urusan pembelian ladang seluas 1.6 hektar milik suspek seorang peguam bergelar Datuk sebelum berita kehilangannya dilaporkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucap syabas dan tahniah kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana dapat menyelesaikan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dengan cepat.
Beliau juga mahu pasukan polis turut diberi ruang dan masa untuk menguruskan kes berkenaan agar semua yang terbabit dapat dihadapkan ke muka pengadilan.
"Ini satu kejayaan (pihak polis) yang begitu memberangsangkan. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak PDRM kerana dapat bertindak cepat, pantas dan dapat membongkar mereka yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan mangsa tersebut.
"Saya berharap mereka dapat mencari bukti-bukti yang jelas yang boleh dikemukakan di mahkamah supaya mahkamah tidak merasa ragu untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal degan angkara yang cukup kejam yang telah dilakukan oleh mereka itu,” katanya.
Najib berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Juara Rakyat peringkat Sabah dan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini, sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang menyifatkan kes pembunuhan jutawan kosmetik itu berusia 47 tahun dan tiga rakannya yang lain telah selesai.
Tiga yang lain pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shansuddin, 44, peguam peribadinya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pegawai CIMB bank cawangan Kampung baru, di sini, Noorhisham Mohamad, 38 dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lepas, dipercayai dipukul sampai mati dan dibakar di Ladang Gadong dan abunya dibuang di Sungai Panchau, Banting, Selangor.
Najib berkata, polis tidak boleh bertindak terburu-buru membawa kes berkenaan ke mahkamah kerana mereka terpaksa mencari bukti kukuh yang boleh mensabitkan semua yang dituduh di muka pengadilan.
"Setakat ini (mereka akan) didakwa tetapi pendakwaan mesti disabitkan kesalahan di mahkamah.
“Ini yang kita mesti berikan masa dan ruang secukupnya (kepada polis) untuk mencari bukti yang boleh dibawa ke mahkamah sehingga tidak ada keraguan sama sekali. Sebab kalau nak jatuhkan hukuman, ia kena melangkaui keraguan munasabah,” katanya. - Bernama
Home »
» Pembunuhan Kejam Sosilawati: Lagi tulang mangsa ditemui dan Tahniah polis cekap tangani kes pembunuhan 'Najib
Pembunuhan Kejam Sosilawati: Lagi tulang mangsa ditemui dan Tahniah polis cekap tangani kes pembunuhan 'Najib
Written By canang on Khamis, 16 September 2010 | 9/16/2010 08:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan