Home » » Video lokasi pembunuhan:Tak bawa wang RM4j, nilai transaksi lebih besar daripada nilai yang tersebar, Jam jadi petunjuk dan Arwah mahu kongsi untung

Video lokasi pembunuhan:Tak bawa wang RM4j, nilai transaksi lebih besar daripada nilai yang tersebar, Jam jadi petunjuk dan Arwah mahu kongsi untung

Written By canang on Isnin, 13 September 2010 | 9/13/2010 12:00:00 PTG


KUALA LUMPUR: Tiada wang tunai ditemui di tempat kejadian pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain walaupun sebelum ini khabar angin mengatakan jutawan itu membawa wang RM4 juta ketika menghilangkan diri.
Sumber polis mengesahkan tiada wang ditemui pihaknya selepas menahan lapan suspek termasuk suspek utama kes berkenaan, seorang peguam bergelar Datuk.

Setakat ini mengikut sumber, segala urusan berkaitan wang yang dijalankan mangsa dan suspek adalah melalui transaksi bank.

Menurut sumber terbabit juga, nilai transaksi yang dilakukan lebih besar daripada nilai yang tersebar sebaik berita kehilangan jutawan kosmetik berkenaan disiarkan.

Kes bunuh Sosilawati: Jam jadi petunjuk
Jam mahal milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang diambil salah seorang penjenayah sebagai ‘kenang-kenangan’ selepas mangsa dibunuh menjadi petunjuk paling penting berhubung kes bunuh dan bakar mangsa berkenaan.
Difahamkan jam milik Sosilawati terbabit dipakai salah seorang daripada lapan suspek termasuk dua daripadanya adalah wanita yang ditahan polis berhubung kes pembunuhan kejam berkenaan.

Selain itu, polis unit Forensik yang melakukan siasatan terhadap lokasi Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut, di sini, lokasi abu mayat mangsa dibuang turut menemui cebisan tisu anggota tubuh, termasuk rambut selain tulang hangus manusia yang dipercayai milik mangsa yang hilang, petang semalam.

Susulan itu polis forensik didapati mengutip semua tisu tubuh manusia terbabit sebelum disusun di atas jalan bagi membolehkan siasatan lebih rapi dilakukan terhadap bukti terbaru ditemui itu melalui kaedah penandaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, bukti terbabit sebahagian daripada sampel ditemui polis di lokasi kejadian termasuk tinggalan abu dipercayai mayat empat mangsa dibunuh.

Difahamkan, bau kuat petrol di kawasan tapak pembakaran mayat mangsa di dalam ladang pertanian bersepadu di Tanjung Sepat menjadi petunjuk kepada polis bagi menjalankan siasatan lebih rapi.

Sementara itu, tiga kenderaan polis Unit Forensik memasuki kawasan ladang terbabit jam 12.20 tengah hari semalam diikuti van polis yang membawa dua suspek utama kes berkenaan.

Wartawan yang berada di lokasi kejadian mendapati, kedua-dua suspek memakai baju lokap polis Kuala Lumpur berkenaan dipercayai suspek utama, peguam bergelar Datuk dan adiknya.

Konvoi polis yang dikawal ketat itu memasuki kawasan ladang yang terletak kira-kira 100 meter daripada jalan utama ke kawasan pembunuhan berkenaan sebelum memulakan siasatan rapi terhadap ladang berkenaan.

Polis Forensik Bukit Aman, Selangor dan Kuala Lumpur melakukan siasatan rapi terhadap lokasi kejadian manakala anggota polis dari Jabatan Kimia Bukit Aman melakukan pemeriksaan terhadap kawasan Sungai Panchau di sini.

Berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai dibunuh dan dibakar berhampiran kawasan kolam dalam ladang yang dibina tembok batu setinggi kira-kira dua meter di sekelilingnya.

Difahamkan polis turut menemui sisa pembakaran yang boleh dikaitkan dengan identiti mangsa yang hilang.

Sementara itu, pasukan penyelam polis marin turut dipanggil bagi membantu siasatan polis melakukan tugas menyelam di sungai terbabit mencari bahan bukti kes selain mengutip objek dipercayai tulang mangsa yang tenggelam ke dasar sungai.

Pasukan forensik turut ke restoran terletak kira-kira empat kilometer dari ladang itu untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, lebih 30 petugas media selain hampir 100 penduduk tempatan tidak dibenarkan menghampiri lokasi kejadian berikutan kawasan terbabit dikawal ketat lapan anggota polis yang menjaga pintu masuk ke ladang terbabit.

Penduduk, M Mohan, 53, berkata, dia terkejut dengan kehadiran polis dan mula mengesyaki sesuatu tidak kena.

“Semalam (kelmarin) ketika saya sembahyang di kuil berhampiran ladang ini, polis mengawal laluan masuk. Jadi saya pun tanya mereka dan dimaklumkan terdapat penemuan lokasi empat mayat dibakar,” katanya.
Difahamkan tanah berkenaan adalah milik peguam bergelar Datuk terbabit.

Arwah mahu kongsi untung

Pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Datuk Sosilawati Lawiya difahamkan terlalu yakin urusan perniagaan dijalankan sebelum kehilangannya pada 30 Ogos lalu berjaya, malah arwah sudah mencongak untuk berkongsi keuntungan itu dengan cara tersendiri.
Kenalan rapat Sosilawati sejak 13 tahun lalu yang juga peguamnya, Datuk Zaidi Zain (gambar), berkata kesungguhan hartawan kosmetik itu mengusahakan urus niaga berkenaan difahamkan berkait soal jualbeli tanah, terserlah apabila Allahyarhamah menjelaskan mahu mengagih hasil keuntungan dengan rakan terdekatnya.

Katanya, ibu enam anak itu berniat berbuat kebajikan dengan membantu ibu tunggal supaya dapat menyara diri dan keluarga seperti mana arwah berjaya mengusahakan empayar perniagaannya bermula sekecil-kecil bisnes sehingga mampu mengaut keuntungan berlipat ganda.

“Saya tahu mengenai perancangannya ini apabila dimaklumkan rakan lain yang Sosilawati mencongak-congak mengagih keuntungan bakal diperoleh dengan rakan dan buat kebajikan bantu ibu tunggal,” katanya.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger