Home » » Suspek pernah bunuh dan bakar mangsa terdahulu sebelum ini,sekurang-kurangnya empat kes bunuh:Video lokasi Datuk Sosilawati di bunuh: .

Suspek pernah bunuh dan bakar mangsa terdahulu sebelum ini,sekurang-kurangnya empat kes bunuh:Video lokasi Datuk Sosilawati di bunuh: .

Written By canang on Isnin, 13 September 2010 | 9/13/2010 06:40:00 PTG



KUALA LANGAT 12 Sept. - Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes bunuh berikutan pengakuan empat suspek bahawa mereka pernah terlibat dalam kes-kes terdahulu iaitu bunuh dan membakar mangsa di Ladang Gadong, Morib dekat sini.

Dalam kes terbaru, suspek tersebut dikaitkan dengan kehilangan jutawan komestik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi yang dipercayai dibunuh setelah dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, dalam tempoh setahun, empat kes dilaporkan berlaku membabitkan mangsa yang hilang dari Kuala Lumpur dan Selangor.

"Kesemua mangsa sebelum ini juga dipercayai terlibat dalam urusan pembelian tanah dengan pihak tertentu.

"Empat daripada suspek yang ditahan dalam kes Sosilawati dan tiga mangsa lain juga memberitahu mereka pernah terlibat dalam kes lain. Berikutan pengakuan itu, kita akan melakukan siasatan terperinci," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah dan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan.

Sosilawati, 47, dan pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan mahu ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Mohd. Bakri dalam pada itu memberitahu, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada mangsa telah membawa sejumlah wang tunai ketika bertemu seorang peguam di Banting sebelum kes kehilangan itu kerana semua bahan bukti telah hangus.

Namun, kata beliau, kes tersebut dikendalikan oleh Polis Kuala Lumpur kerana laporan polis dibuat di kontinjen itu dan akan dibantu oleh Polis Selangor.

Tambahnya, sama ada beliau sendiri atau Muhammad Sabtu akan melakukan hebahan dari semasa ke semasa kepada media berhubung perkembangan kes yang kini menjadi tumpuan masyarakat.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai dan media yang banyak membantu dalam proses siasatan kes ini," ujarnya.

Tambah beliau, Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun turut terlibat dalam siasatan tersebut bagi menyiasat harta luar biasa yang dimiliki oleh salah seorang suspek berjawatan peguam dalam kes Sosilawati.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger