SHAH ALAM 31 OKT: Laporan Ketua Audit Negara untuk Badan-badan Berkanun bagi tahun 2009 mendapati Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah membangunkan beberapa lot tanah tanpa kebenaran Perbadanan Aset Keretapi (PAK).
Tindakan ini didapati melanggar Seksyen 92(2) dan 93 Akta Keretapi 1991 yang menyatakan semua harta, hak dan liabiliti Keretapi Tanah Melayu (KTM) serta semua hak yang terletakhak, dipegang atau diperoleh oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di bawah Ordinan Keretapi 1948 adalah dimansuhkan dan hendaklah diletakkan kepada PAK.
Pihak Audit berpendapat, kelewatan PAK meletakhak ke atas lot-lot tanah tersebut telah memberi laluan kepada KTMB dan menyebabkan keadaan ini berlaku.
Malah, semakan Audit mendapati KTMB telah menandatangani tujuh projek usaha sama di atas tanah milik PAK antara tahun 1993 hingga 1996, yang mana dilaksanakan selepas Akta Keretapi 1991 dikuatkuasakan.
Dari tujuh projek ini, dua projek tidak dapat dilaksanakan kerana PAK telahpun meletakhak terhadap tanah tersebut. Projek tersebut ialah Projek Pembangunan di Lot 10, Brickfields dan Projek Heritage di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur.
Lima projek yang telah dilaksanakan ialah projek pembangunan Bukit Tunku (Kuala Lumpur), Sentul Raya (Kuala Lumpur), KL Sentral (Kuala Lumpur), Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Prai Perdana (Pulau Pinang).
Daripada lima projek ini, didapati hanya satu projek sahaja mendapat kelulusan Jemaah Menteri (Kabinet) sebelum projek dimulakan manakala empat projek lain mendapat kelulusan selepas projek dibangunkan. Pihak PAK pula hanya dimaklumkan selepas kesemua projek dilaksanakan.
Semakan Audit mendapati, menurut syarat perjanjian antara KTMB dan tujuh syarikat pembangunan tanah berkenaan, KTMB sepatutnya menerima faedah dalam bentuk tunai sebanyak RM286.42 juta dan dalam bentuk bukan tunai sebanyak RM629.57 juta.
Tetapi pihak Audit hanya dapat memeriksa pembayaran faedah kepada KTMB sehingga Julai 2005 dalam bentuk tunai sebanyak RM130.25 juta, dan status projek sehingga kini tidak dimaklumkan kepada PAK. Semakan lanjut juga menunjukkan PAK tidak menerima sebarang bayaran daripada KTMB.
Maka KTMB didapati melanggar Seksyen 89(9) Akta Keretapi 1991 yang menyatakan semua hasil dan faedah daripada projek usahasama perlu diserahkan kepada PAK.
Perkara ini juga tidak selaras dengan cadangan Jawatankiasa Kira-kira Wang Negara pada tahun 1995 yang menghendaki PAK membangunkan tanah milikan KTM dan menggunakan pulangannya untuk membayar balik pinjaman kerajaan yang berjumlah RM1.07 Billion setakat 31 Disember, 2008.
Home »
» KTMB Bangun Tanah Tanpa Kebenaran PAK
KTMB Bangun Tanah Tanpa Kebenaran PAK
Written By canang on Ahad, 31 Oktober 2010 | 10/31/2010 06:47:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan