Home » » Menara Warisan Merdeka - Alasan PNB Tidak Munasabah

Menara Warisan Merdeka - Alasan PNB Tidak Munasabah

Written By canang on Khamis, 21 Oktober 2010 | 10/21/2010 09:00:00 PTG

KUALA LUMPUR : Alasan Permodalan Nasional Berhad (PNB) ingin melaksanakan projek mega Wawasan Merdeka 100 tingkat kerana bangunan ibupejabat PNB yang sedia ada akan berusia 30 tahun pada 2016 tidak dapat diterima rakyat.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendirian PNB tersebut akan turut digunapakai oleh syarikat lain sekaligus mengakibatkan pembaziran ruang pejabat di sekitar ibu negara.

"BIla dia pindah bermakna bangunan itu kosong. Siapa mahu sewa sedangkan bangunan baru sudah banyak. Kalau dia tidak mahu duduk bangunan berumur 30 tahun, mungkin orang lain juga tidak mahu duduk.

"Hujah saya tadi saya mengatakan Menara Citibank sudah menurunkan kadar sewaan daripada RM7 satu kaki persegi mengurangkan kadar itu kepada RM 6. Pengurangan kadar sewa menunjukkan permintaan telah berkurangan sehingga terpaksa menawar kadar yang lebih murah," jelas beliau.

Beliau menambah, Kuala Lumpur mempunyai lebihan ruang pejabat sebesar 15 juta kaki persegi sehingga 2014.

Mahfuz yang ditemui di lobi parlimen turut mencadangkan agar kelulusan daripada jawatankuasa khas parlimen bagi perancangan bangunan baru untuk mengelakkan sebarang pembangunan tanpa rancang oleh syarikat-syarikat kerajaan.

Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman hari ini menafikan dana yang akan digunakan untuk membangunkan projek mega Wawasan Merdeka menggunakan dana pemegang unit amanah.

Beliau turut menyatakan bahawa PNB akan mendapatkan pinjaman bank jika kadar faedah yang berpatutan selain menjana dana di pasaran modal untuk membolehkan projek tersebut dilaksana.

Mahfuz berkata, walaupun PNB mengumumkan tidak akan menggunakan dana pemegang saham tetapi dana khas pelaburan, beliau tetap musykil RM115 billion nilai saham amanah datangnya dari duit pelaburan pemegang saham.

Sehubungan dengan itu beliau meminta Hamad Kama tampil menjelaskan keuntungan 30 tahun pelaburan yang diperoleh PNB selain mencadangkan agar dividen diberikan kepada pemegang saham.

"Jadi saya mahu tegaskan di sini bahawa secara tidak langsung ia akan membabitkan wang dari unit saham amanah. Iaitu hasil daripada keuntungan. sepatutnya keuntungan itu diberikan sebagai dividen kepada pemegang saham. Ini wang mereka," jelas beliau.

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger