Home » » Pakatan Rakyat turut memasang sepanduk

Pakatan Rakyat turut memasang sepanduk

Written By canang on Jumaat, 22 Oktober 2010 | 10/22/2010 11:00:00 PG

KUALA LUMPUR  Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini turut memasang sepanduk Pakatan Rakyat di sepanjang jalan masuk ke bangunan Parlimen sebagai tanda protes terhadap tindakan Umno yang menggantung sepanduk sempena Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata tindakan itu sebagai tanda membantah dan bagi mengetahui pendirian pihak pentadbiran Parlimen mengenai perkara itu.

"Pada hari Isnin lalu, saya telah membuat protes kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan hari berikutnya telah diturunkan, tetapi semalam saya lihat sepanduk tersebut dinaikkan semula.

"Semalam, apabila saya mendesak Speaker berhubung pendirian penggantungan sepanduk parti politik di bangunan Parlimen, beliau berkata perkara itu tidak ada kena-mengena dengan persidangan dan tidak seharusnya dibawa ke dalam Dewan Rakyat.

Pandikar Amin dalam jawapannya berkata jalan Parlimen bukan di bawah bidang kuasanya tetapi adalah merupakan kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menentukannya.

"Selepas saya buat protes, Speaker kata ini bukan bidang kuasa beliau. Jadi kalau Speaker kata tak ada kuasa, maksudnya parti lain pun boleh buat perkara sama.

"Tidak asas yang membolehkan Umno menggantung sepanduk perhimpunan agung mereka kerana ianya berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bukan di Parlimen," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, pagi tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli berkata, Umno telah menyalahguna laluan ke Parlimen untuk mempromosi program mereka yang langsung tidak ada kaitan dengan persidangan Dewan Rakyat ketika ini.

"Jalan ke Parlimen sememangnya meraikan rakyat dan ahli-ahli Parlimen yang ingin keluar masuk ke bangunan ini dan tidak menjadi masalah kalau kerajaan menggantung sepanduk yang mempromosi program Kerajaan yang melibatkan semua rakyat.

"Tapi mereka ternyata mempromosi program parti yang tidak ada kaitan dengan persidangan Parlimen," katanya. .
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger