Home » » Projek Mega BN - Wang Rakyat Digunakan Jika GLC Gagal

Projek Mega BN - Wang Rakyat Digunakan Jika GLC Gagal

Written By canang on Ahad, 24 Oktober 2010 | 10/24/2010 02:00:00 PTG

KUALA LUMPUR: Pendekatan 'off balance sheet budgeting' yang dilaksanakan Perdana Menteri Najib Razak dalam matlamat mengurangkan defisit adalah satu cara pengkhianatan dalam konteks pengurusan kewangan negara.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS, Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata dalam Belanjawan 2011, Najib kononnya membayangkan bahawa projek-projek mega kerajaan akan dipacu syarikat GLC.

Namun jelasnya, hakikatnya jika tidak diselaraskan dengan betul maka akhirnya kerajaan akan mengalas tanggungjawab menjamin keluar projek-projek berkenaan.

Keadaan itu nanti katanya, sekaligus menambah jumlah bon yang masih belum terlunas berjumlah RM101.65 billion terhadap Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dr. Dzul menambah, matlamat kerajaan mengurangkan defisit daripada 5.6 kepada 5.4 akan terkubur sekiranya tiada disiplin kukuh pentadbiran kewangan negara.

"Bukan hanya bayaran bon ini sahaja yang telah tertanggung RM101 billion tapi cara dia merangka penggunaan dana yang kononnya swasta tetapi akhirnya akan kembali kepada kerajaan. Contohnya PKFZ, Bakun.

Bila pelaburan asing tidak masuk akhirnya dia akan memangsakan wang pencen pembayar cukai iaitu KWSP. Jadi pada saya ini adalah pengkhianatan dan merupakan satu pendekatan fiskal yang cukup curang.

Laman web Merdeka Review semalam mendedahkan Malaysia terpaksa melangsaikan hutang bon sebanyak RM101.65 billion dalam masa tiga tahun iaitu daripada 2010 sehingga 2012.

Menurut perangkaan dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2011, KWSP merupakan "khazanah" terbesar kerajaan persekutuan dengan membekalkan pinjaman sejumlah RM56.59 billion termasuk kepada GLC walaupun masih berhutang sebanyak RM48.36 billion.

Dr. Dzul yang ditemuramah TV Selangor berkata KWSP tidak mempunyai kuasa mutlak menentukan jumlah yang perlu dibiaya justeru terpaksa akur dengan keputusan kerajaan.

"Mereka akan memulas tangan KWSP untuk terus membiayai projek mega mewah mereka. Saya cukup takut kerana pada zahirnya mereka mengatakan projek akan dipacu oleh swasta tetapi pada zahirnya menggunakan dana rakyat.

Tambah beliau lagi, cara kerajaan mendewakan pertumbuhan KDNK adalah bentuk pengurusan kewangan yang salah di mana mengabaikan kepentingan pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau mengambil contoh agihan belanjawan kurang RM10 billion kepada negeri Sabah dan Sarawak yang tidak setimpal dengan keuntungan yang diserahkan kepada kerajaan justeru dalam masa yang sama meminggirkan keperluan asas bekalan air bersih dan keperluan komputer kepada masyarakat luar bandar kedua-dua negeri itu.

Dr. Dzul berkata, beliau dan Pakatan Rakyat mengambil pendekatan prinsip 'Aulawiyat' dengan memberi keutamaan kepada perkara yang wajar diutamakan.

"Apa yang boleh kami lakukan pertama, sebelum kita bercakap tentang subsidi dan sebagainya, tutup lubang ketirisan dan kebocoran. Kedua, dalam menentukan pelaburan dan pembangunan tentukan keutamaan. Memang semuanya penting tetapi ada yang lebih penting dari yang penting-penting," katanya lagi.

Beliau menambah, fokus kerajaan Barisan Nasional dibayangi pembangunan fizikal yang melambangkan kemegahan infrastruktur namun mengabaikan perkara asas menjana sumber manusia untuk memenuhi pasaran dunia.

"Kita akan memfokus bukan pembinaan inftra-struktur tapi yang lebih penting info-struktur iaitu "human capital", keupayaan pasaran membekal pekerja berkemahiran.

"Yang hendak dibina bukan KLIFD tetapi rangkaian hadirnya profesional yang mempunyai kemahiran dan keupayaan di tahap tertinggi kewangan Islam korporat. Mana dia manusia itu kalau tidak keluar daripada institusi tempatan dan luar negara. Kita perlu laburkan kepada bakat yang kita bina," tegas beliau. - Hadri Yaziz
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger