Home » » NUBE Desak bonus 80 Bulan Dibayar Kepada 5,000 Anggotanya

NUBE Desak bonus 80 Bulan Dibayar Kepada 5,000 Anggotanya

Written By canang on Jumaat, 19 November 2010 | 11/19/2010 09:30:00 PTG

KUALA LUMPUR 19 NOV : Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) hari ini mendesak bonus sebanyak 80 bulan dibayar kepada 5,000 anggotanya di Maybank, sebagai tunggakan bagi tempoh sepuluh tahun lepas.

Setiausaha Agungnya J. Solomon berkata desakan itu dibuat atas dasar bonus serupa telah dibayar kepada kakitangan eksekutif bank berkenaan bagi tempoh yang sama.

Beliau berkata walaupun NUBE berbangga dengan pencapaian cemerlang perbadanan di Malaysia, namun pengiktirafan serta ganjaran perlu diagihkan secara sama rata kepada semua kategori pekerja.

"Bagi suku pertama tahun ini, keuntungan Maybank melebihi paras RM1 bilion,dan anggota NUBE turut menyumbang kepada situasi ini, maka mereka perlu diberikan ganjaran sewajarnya," katanya kepada Bernama hari ini.

Soloman berkata kesatuan itu telah menulis kepada bank tersebut pada 14 Oktober berhubung perkara tersebut, namun belum menerima sebarang jawapan.

"Ini jelas menunjukkan rasa tidak hormat syarikat berkaitan kerajaan kepada pekerjanya sendiri, yang merupakan warga negara Malaysia.

"Malah, ini bertentangan dengan aspirasi gagasan 1Malaysia dan Model BaruEkonomi yang bermatlamat mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi.

Bagaimanapun, ia perlu memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya segelintir yang merampas kemakmuran yang diperoleh serta dicipta oleh semuarakyat Malaysia," katanya.

Menjawab desakan NUBE, Maybank dalam satu kenyataan berkata isu ganjaran tahunan untuk kakitangannya dalam kategori perkeranian dan bukan perkeranian adalah berdasarkan perjanjian bersama (CA) antara Persatuan Bank-Bank Perdagangan Malaysia (MCBA) dan NUBE.

Katanya, CA itu dicapai menerusi NUBE, dan dengan jelas mentakrifkan ganjaran yang dipersetujui, termasuk bonus kontrak kepada semua anggota kesatuan tersebut.

Maybank berkata ia sentiasa mematuhi CA tersebut, malah pada tahun ini, bank berkenaan telah memberi bonus tambahan dalam bentuk tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap kakitangannya termasuk anggota NUBE, selain bonus kontrak atau bonus berdasarkan prestasi, seperti yang telah dipersetujui.

Katanya, MCBA dalam rundingan mengenai CA sebelum ini telah mencadangkan satu skim bonus berdasarkan prestasi kepada anggota NUBE.

Bagaimanapun, ia berkata NUBE kemudian telah memilih skim bonus kontrak untuk menjadi sebahagian daripada CA tersebut. Maybank berkata ia telah melaksanakan satu polisi pemberian ganjaran yang adil berdasarkan prestasi dan merit sejajar amalan terbaik dan mengatasi purata industri.

Sehubungan itu, katanya, kakitangan Maybank dalam skim bonus berdasarkan prestasi, menerima ganjaran yang menggambarkan prestasi individu serta pencapaian bank.
Share this article :

1 ulasan:

nisa sanjaya berkata...

kereeen :D

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger