Home » » Aktor paling mahal

Aktor paling mahal

Written By canang on Sabtu, 25 Disember 2010 | 12/25/2010 10:02:00 PTG

SEANDAINYA pada tahun lalu, carta pelakon dengan bayaran tertinggi menyaksikan aktor Harrison Ford berada pada kedudukan teratas, semuanya gara-gara filem Indiana Jones And The Kingdom Of The Crystal Skull, tahun ini senarai itu berubah apabila aktor berbakat Johnny Depp mengambil alih takhtanya.
Sedangkan, kira-kira tujuh tahun lalu, tiada siapa pun pernah menjangka bintang berusia 47 tahun itu akan termasuk dalam senarai berkenaan. Namun, semuanya berubah apabila pelakon dari Kentucky, Amerika Syarikat ini membintangi filem Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl pada 2003.
Sebelum itu, aktor yang mula menyerlah menerusi siri 21 Jump Street ini lebih dikenali menerusi filem seperti Edward Scissorhands, Ed Wood, Don Juan DeMarco, Donnie Brasco, Fear and Loathing in Las Vegas, Sleepy Hollow dan The Astronaut's Wife.

Melalui filem terbabit, namanya sering dicalonkan dalam anugerah, namun kejayaan lebih besar diterima olehnya apabila dia beraksi dalam filem berbajet besar yang menggabungkan elemen aksi, fantasi dan komedi. Filem Pirates pertama umpamanya memungut kira-kira RM2.06 bilion di seluruh dunia. Bukan saja berjaya dari segi kutipan pecah panggung, malah Depp sendiri memenangi tiga trofi pelakon lelaki terbaik dan 10 pencalonan akhir lain bagi kategori sama menerusi filem arahan Gore Verbinski ini.

Tiga filem Pirates yang sudah pun menemui penonton setakat ini memungut kira-kira RM8.5 bilion. Filem keempat dalam siri itu, Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides, pula akan menemui penonton pada tahun depan dalam bentuk 3D. Kehadiran filem ini tentu sekali akan melonjakkan lagi pendapatan bintang ini yang muncul bersama filem terbaru, The Tourist, bergandingan dengan Angelina Jolie.

Sebuah lagi filem lakonannya yang dipersembahkan dalam bentuk 3D dan baru saja menemui penonton tahun ini, Alice in Wonderland, berjaya mengaut kira-kira RM3.1 bilion.
Kemampuannya untuk menarik begitu ramai penonton ke panggung, seterusnya mencatat laba yang cukup tinggi buat syarikat penerbitan membuatkan studio perfileman sanggup mengeluarkan peruntukan lebih, semata-mata bagi memastikan mereka mendapat khidmat daripada Depp.

Antara Jun tahun lalu hingga Jun 2010, dia muncul pelakon mendapat bayaran tertinggi di Hollywood dengan pendapatan kira-kira RM236 juta.
Ford menguasai kedudukan itu pada tahun sebelumnya dengan pendapatan berjumlah RM204.5 juta.

Sepuluh aktor dengan bayaran tertinggi membawa pulang sejumlah RM1.1 bilion antara Jun 2009 dan Jun tahun ini. Menurut Forbes.com, jumlah itu diperoleh menerusi maklumat yang disalurkan oleh ejen, pengurus, penerbit dan peguam, berdasarkan jumlah yang diterima pelakon terbabit pada ketika filem sedang dirakamkan, begitu juga bayaran yang dipungut selepas filem berkenaan memasuki pawagam. Jumlah itu juga dirangkum daripada pendapatan aktor terbabit dalam iklan.

Berada pada kedudukan kedua selepas Depp ialah Ben Stiller yang membawa pulang kira-kira RM167 juta. Pelakon komedi ini mendapat bayaran besar daripada filem seperti Night at the Museum: Battle of the Smithsonian dan filem ketiga dalam siri Meet the Parents, Little Fockers.

Tom Hanks pula menghuni tempat ketiga apabila meraih sejumlah RM141.5 juta bagi tempoh berkenaan. Sebahagian besar pendapatannya datang daripada filem seperti Angels & Demons dan filem yang akan menemui penonton tidak lama lagi, Larry Crowne, yang dilakonkan bersama Julia Roberts.

Hanks juga membuat duit menerusi filem dan program televisyen terbitannya. Lelaki yang dilahirkan pada Julai 1956 di California ini ialah orang kuat di sebalik penerbitan siri mini siaran HBO, The Pacific, selain menerbitkan filem fantasi Where The Wild Things Are.

Sementara itu, Adam Sandler yang berada pada kedudukan kedua tahun lalu, kini menghuni kedudukan keempat dengan pendapatan sebanyak RM125.8 juta. Kebanyakan filem komedi lakonannya memberikan keuntungan kepada syarikat penerbitan, sebagaimana filem terbaru, Grown Ups, yang akhirnya muncul filem ketiga terbesar lakonannya setelah memungut RM724 juta di seluruh dunia, walaupun bermula dengan agak perlahan.

Leonardo DiCaprio berada di tempat kelima dengan RM88 juta. Jika beberapa tahun lalu dia agak sukar meyakinkan produser untuk memberikannya gaji yang lebih, apabila filem lakonannya seperti Body of Lies dan Blood Diamond kurang menyerlah pada pungutan pecah panggung, namun kejayaan filem Shutter Island dan Inception mula mengubah keadaan itu.

Inception yang ditayangkan Julai tahun ini, muncul filem kedua terbesarnya selepas Titanic, dengan pungutan kira-kira RM2.2 bilion. DiCaprio pasti memungut sehingga RM157.3 juta daripada filem itu, yang seharusnya meletakkan dirinya pada kedudukan lebih baik dalam senarai tahun depan.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger