SEJAK berita penahanan Khaeryll Benjamin Ibrahim, 32, berhubung kes memiliki dadah mendapat liputan meluas pada Mac lalu, tidak semena-mena ibunya yang juga aktres terkenal, Azean Irdawaty menjadi buruan media.
Namun ketika itu, agak sukar untuk menjejaki Azean kerana dia sendiri lebih senang mengunci mulut. Khidmat pesanan ringkas yang dikirimkan bagi mendapatkan komen berhubung penahanan Benjy dijawab cukup ringkas berbekalkan jawapan 'No komen'. Sesiapa saja yang berada di tempat pelakon itu tentunya akan melakukan perkara serupa.
Tiada siapa mahu diganggu saat sedang berperang dengan masalah yang besar.
Bagaimanapun, sembilan bulan selepas berita gempar itu, Azean atau Kak Yan kelihatan semakin kuat dan tenang. Bukan saja dari sudut mental, malahan fizikal sekalipun dia sendiri sedang berperang dengan barah payu dara yang sudah berada pada tahap empat.
Begitulah kuatnya semangat seorang ibu. Demi anak lelaki tunggal kesayangan, Azean cuba untuk bertahan kerana mahu memeluk anak kesayangan yang kini ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor yang menjadi impian terakhir aktres itu sebelum ajal menjemputnya.
“Walaupun penyakit Kak Yan disahkan berada di tahap empat, tetapi alhamdulillah Kak Yan berasa semakin sihat. Kak Yan sentiasa cakap kepada diri, selagi aku belum peluk anak aku Benjy, jangan ambil aku.
“Kalau ikutkan kata doktor, Kak Yan hanya berpeluang hidup dua tahun saja lagi iaitu sehingga Oktober lalu kerana paru-paru dan hati Kak Yan juga sudah dijangkiti sel barah. Doktor menasihati Kak Yan supaya segera menulis surat wasiat kerana bimbang tidak sempat. Alhamdulillah Kak Yan masih bernafas hingga kini. Kak Yan juga tidak akan izinkan sesiapa menakut-nakutkan Kak Yan kerana ajal maut terletak di tangan Tuhan.
“Kak Yan juga tak mahu lagi buat rawatan di hospital, sebaliknya lebih selesa mendapatkan rawatan secara alternatif. Kak Yan tak mampu lagi berulang alik ke hospital kerana kos rawatan mahal. Sejak tiga tahun lalu, Kak Yan sudah berhabis lebih RM200,000,” katanya.
Biarpun naluri keibuannya meronta-ronta mahu mendakap anak kesayangannya, namun aktres yang mula mencipta nama sejak era 70-an itu tetap bersyukur kerana masih diberi peluang melawat anaknya dua bulan sekali. Setiap kali bertemu, mereka hanya dapat berbicara menerusi telefon, manakala tangan masing-masing dilekapkan pada cermin yang menjadi tembok pemisah sebagai cara mereka berpelukan.
Ketiadaan Benjy memang jelas sekali cukup dirasakan Kak Yan, walaupun dia kelihatan cukup kuat menepis dugaan itu. Kata Kak Yan, pada Ramadan yang lalu, juadah yang sering menjadi kelaziman mereka sekeluarga saat berbuka, tidak lagi disediakan kerana ketiadaan Benjy.
“Setiap kali bulan puasa, Kak Yan selalunya akan menyediakan nasi ulam daun keladi iaitu makanan tradisi masyarakat Kedah yang juga menjadi kegemaran Benjy. Bagaimanapun, tahun ini, Kak Yan tidak buat langsung kerana dia tidak ada.
“Selama berada dalam tahanan, Kak Yan lihat Benjy sangat kuat. Kak Yan selalu menasihati dia supaya cekal kerana Tuhan tahu apa yang sedang dia harungi. Dia juga ada menyatakan hasratnya yang tidak sabar mahu keluar. Dia selalu kata rindukan mama, adik-adik dan juga anaknya Firdauz Juan.
“Kak Yan memang berharap Benjy dapat segera ke luar. Dia sepatutnya menjalani hukuman selama dua tahun, tetapi sekiranya berkelakuan baik, berkemungkinan hukuman itu dipendekkan,” kata Kak Yan yang bakal kembali beraksi di pentas teater muzikal Tun Mahathir pada Januari depan.
Teruja dengan muzikal Tun Mahathir
Kesediaannya untuk beraksi di dalam pementasan Muzikal Tun Mahathir musim kedua di Istana Budaya (IB) pada 21 hingga 30 Januari 2011 bukanlah titik tolak kepada Kak Yan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.
Sebaliknya kata Kak Yan, hatinya terbuka menerima tawaran daripada CTRA Production kerana tertarik dengan karya berkenaan, apatah lagi Tun Mahathir juga adalah idolanya.
“Kak Yan tak tahu kenapa, tetapi sewaktu menonton teater muzikal itu tempoh hari, hati Kak Yan cukup tersentuh. Malah Kak Yan hampir berdiri dan menjerit nama Tun ketika Esma Daniel menuruni tangga. Begitu hebatnya Esma hingga mampu meyakinkan penonton.
“Kak Yan memang berharap sangat Siti Rohayah Attan (Roy) akan mementaskan semula teater ini. Bila Roy telefon menyatakan hasrat untuk terbabit dengan pementasan kedua, Kak Yan memang amat teruja.
“Kak Yan tak kisah walaupun watak yang diberikan itu kecil, bagi Kak Yan watak berkenaan tetap penting kerana pernah menjadi sebahagian daripada hidup Tun.
“Sekalipun hanya diberikan satu babak saja, Kak Yan akan tetap menjalani latihan penuh kerana sudah lama Kak Yan tidak melalu saat sebegini. Kali terakhir kira-kira lima tahun lalu menerusi teater M The Opera!,” katanya.
Home »
» Impian terakhir Kak Yan
Impian terakhir Kak Yan
Written By canang on Selasa, 14 Disember 2010 | 12/14/2010 12:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan