Home » » Industri hiburan pencetus dunia gay?

Industri hiburan pencetus dunia gay?

Written By canang on Khamis, 23 Disember 2010 | 12/23/2010 09:00:00 PTG

Sejak kebelakangan ini isu seks songsang terutamanya gay semakin hangat diperkatakan. Malah ia semakin seronok diperkatakan, apabila ramai penggiat industri dan karyawan menerbitkan pelbagai drama dan filem yang menceritakan tentang kehidupan songsang lelaki dengan dunia pondan dan gay.

Tambahan pula kehadiran artis luar negara, Adam Lambert, yang terkenal sebagai ikon gay, dengan konsert Oktober lalu, dilihat secara terang-terangan memberi sokongan kepada gejala yang tidak bermoral ini.

Ada juga yang melabelkan jika artis itu berwajah jambu maka dia pasti terlibat dengan gejala ‘adik’ dan ‘abang’ ini.

Namun dalam hal ini, peribahasa, sekilas ikan di laut, ku kenal jantan betinanya, tidak boleh diguna pakai.

Ironinya, sejak dulu lagi memang ada saja cerita dan gosip tentang artis-artis lelaki yang terlibat dengan gejala gay, namun sejauh manakah kebenarannya, hanya mereka sahaja yang tahu.

Bagi segelintir pihak, industri seni memang ‘busuk’ sehingga segala permasalahan mudah dituding begitu sahaja. Namun ia tidak seharusnya, dituding sebulat-bulatnya kerana orang-orang di dalam industri itu pastinya ada jawapannya tersendiri.

Tak semua artis jambu, gay: Adam (Penyanyi)

“Pada pendapat saya isu gay ini adalah luas kerana setiap individu mempunyai corak dan pandangan yang tersendiri. Ia adalah lumrah dunia kerana di mana-mana pun masalah ini wujud (isu gay).

“Tetapi saya tidak bersetuju bila masyarakat atau individu meletakkan sewenang-wenangnya artis berwajah jambu, atau berpenampilan maskulin sebagai gay kerana bukan semua artis berwajah jambu itu gay. Sebab ada seseparuh artis senang berpakaian kemas dan suka pada fesyen terkini.

“Tentang isu kedatangan Adam Lambert ke Malaysia mungkin ada yang datang kerana meminati lagunya sahaja. Jadi sebenarnya terpulang pada masyarakat untuk menilai. Lagipun masyarakat sekarang tahu mana yang baik, mana yang buruk.”

Sekadar fesyen: Dafi (Penyanyi/Pelakon)

“Penampilan saya seperti Adam Lambert hanya sekadar fesyen dan bukannya terpengaruh dengan dia. Tidak bermakna saya juga gay seperti dia. Lagipun saya rasa ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ia tidak lebih sekadar fesyen, bukan terpengaruh dan sebagainya.

Harus lihat dari sudut positif: Ahmad Ibrahim (Presiden Persatuan Sutradara Malaysia)

“Pada pendapat saya, filem yang kita hasilkan tidak kisah menceritakan tentang budaya gay, lesbian, rempit mahupun bohsia membawa mesej dan moral yang tersendiri. Ia bertujuan membuka minda kita bahawa perkara seumpama itu memang terjadi dalam masyarakat kita hari ini dan mendidik masyarakat agar menggelakkan diri daripada terjebak dengan perkara yang tidak bermoral.

Kita harus lihat ia dari sudut yang positif, bukan melihat seolah-olah kita mahu mengagungkan budaya gay atau budaya yang tidak sihat dan seumpamanya.”

Wujudkan garis panduan untuk artis: Norman Abd Halim (Pengerusi baru Persatuan Industri Rakaman Malaysia)

“Apa yang saya katakan ini adalah secara general dan terbuka, jika seseorang artis itu mengaku dia gay, tidak semestinya dia menggalakkan orang lain mengikutnya menjadi gay. Jangan ambil sikap bahawa semua masyarakat kini bodoh.

“Jika ada yang terlibat dengan budaya songsang ini, datangnya daripada naluri dia sendiri dan pengaruh rakan. Lagipun belum ada lagi artis Malaysia yang mengaku dia gay, lesbian atau seumpamanya.

“Tetapi jika mahu dibanteras, wujudkan satu garis panduan sama ada mengharamkan artis yang mengamalkan budaya songsang daripada diberi publisiti. Jika kita halang dia adakan konsert, tetapi di radio dan televisyen masih memainkan lagunya, tiada gunanya juga.”

Buat filem untuk berdakwah: Raja Azmi (Penerbit filem Anu Dalam Botol)

“Bagi saya setiap filem yang saya hasilkan niat saya adalah untuk berdakwah. Jika kita mahu tegah orang daripada melakukan kemungkaran, kita kena beritahu apa dia kemungkaran itu. Bukannya menyorokkan perkara yang negatif dan tunjukkan kebaikan sahaja.

“Isu seperti gay ini bukan perkara baru. Ia telah terjadi sejak zaman Nabi lagi. Dulu tidak terlalu menonjol kerana ia diharamkan untuk ditonjolkan. Jadi ada ibu bapa yang tidak peka dengan situasi yang semakin parah ini. Bila anak berperwatakan lembut atau tidak meminati perempuan, mereka tidak ambil peduli.

“Jadi orang industri macam saya hasilkan filem seperti isu gay, untuk membuka mata masyarakat agar mereka peka dengan keadaan sekeliling kerana apa yang saya tonjolkan sememangnya berlaku dalam masyarakat kita sekarang. Jadi kita harus lihat dari sudut yang positif, bukan melihat seolah-olah kita mengagung-agungkan budaya seperti gay.”
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger