Home » » MEF : Gaji Pekerja Swasta Meningkat Tahun Depan

MEF : Gaji Pekerja Swasta Meningkat Tahun Depan

Written By canang on Jumaat, 10 Disember 2010 | 12/10/2010 12:02:00 PTG

KUALA LUMPUR 10 DIS : Pekerja sektor swasta dijangka menerima upah yang tinggi tahun depan -- satu petunjuk jelas yang ekonomi Malaysia telah sihat dan lancar menuju pemulihan, demikian menurut Persatuan Pekerja Malaysia (MEF).

Presidennya, Datuk Azman Shah Haron berkata kaji selidik yang dikendalikan oleh persatuan itu mendapati upah untuk eksekutif diunjurkan meningkat sebanyak 5.79 peratus pada tahun 2011 berbanding peningkatan 5.67 peratus tahun ini.

Kaji selidik itu mendapati yang 80.8 peratus daripada syarikat responden memberikan kenaikan gaji kepada semua eksekutif tahun ini yang juga tinggi berbanding dengan peningkatan 5.26 peratus tahun lalu.

Untuk bukan eksekutif, 80.3 peratus daripada syarikat responden memberikan kenaikan gaji pada 2010 yang juga tinggi berbanding tahun 2009.

Trend kenaikan gaji ini konsisten dengan pemulihan ekonomi Malaysia yang kukuh, kata Azman dalam taklimat media mengenai "Kaji Selidik Gaji MEF 2010 untuk Eksekutif dan Bukan Eksekutif" di Petaling Jaya, semalam.

Selain daripada Kaji Selidik Gaji, MEF turut menghasilkan enam terbitan baharu termasuk "MEF Compensation and Benefits Survey for Sales/Marketing Personnel, MEF Fringe Benefits Survey 2010, MEF Survey on Man-Days Loss, Analysis of Collective Agreements and Awards on Terms and Conditions of Employment 2009 dan MEF Survey on Implementation of Productivity/Performance Linked Wage System".

Azman berkata keputusan kaji selidik turut tidak menerima laporan Bank Dunia yang menyatakan gaji sebenar di Malaysia daripada tahun 1994 hingga 2007 hanya meningkat sebanyak 2.6 peratus.

"Menurut kaji selidik MEF, jumlah upah telah meningkat sebanyak 97.10 peratus untuk eksekutif dan 91.21 peratus untuk bukan eksekutif dari tahun 1994 hingga 2007.

"Selepas mengambilkira Indeks Harga Pengguna yang mengukuh 37.3 peratus dalam tempoh yang sama, kenaikan upah sebenarnya ialah 59.8 peratus untuk eksekutif dan 53.9 peratus untuk bukan eksekutif," kata beliau.

Jika kenaikan upah dilanjutkan ke 2010, jumlah kenaikan upah daripada tahun 1994 hingga 2010 berjumlah 114.23 peratus untuk eksekutif dan 107.4 peratus untuk bukan eksekutif.

Justeru itu, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak 44.8 peratus dari 1994 hingga 2010, berdasarkan kaji selidik tahunan MEF mengenai upah, kenaikan sebenar upah dari 1994 hingga 2010 ialah 69.43 peratus dan 62.6 peratus, masing-masing bagi eksekutif dan bukan eksekutif, kata Azman.

Ini membuktikan laporan Bank Dunia tentang kenaikan upah sebenar sebanyak hanya 2.6 peratus dari 1994 hingga 2007 tidak benar.

Hanya Bank Dunia yang tahu bagaimana angka ini diperoleh, kerana kaedah perkiraannya tidak dinyatakan, kata beliau.

Kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa 86.1 peratus syarikat responden memberikan bonus kepada eksekutif masing-masing pada 2010 manakala 83.7 peratus memberikan bonus kepada bukan eksekutif, iaitu lebih tinggi daripada 80 peratus pada 2009.

Mengenai kaji selidik MEF tentang 'Man-Days Loss', beliau berkata 94.6 peratus syarikat yang mengambil bahagian membayangkan sebab paling lumrah bagi 'man-days loss' adalah disebabkan oleh cuti sakit, kelewatan (56.8 peratus), kunjungan ke klinik/hospital (50 peratus), cuti kemalangan di tempat kerja (35.1 peratus) dan sakit yang berlarutan (32.4 peratus).

Sebab-sebab lain ialah masalah peribadi/keluarga (28.4 peratus) dan permohonan cuti tidak diluluskan (16.2 peratus) manakala purata 'man-days loss' disebabkan oleh cuti sakit (tidak dimasukkan ke hospital) pada 2009 berjumlah 4.04 hari bagi setiap pekerja.

Berdasarkan 5.5 juta pekerja rasmi dalam sektor swasta di Malaysia, jumlah 'man-days loss' disebabkan oleh cuti sakit (tidak dimasukkan ke hospital) adalah 22.2 juta hari setahun, katanya.

Kaji selidik itu juga membayangkan bahawa purata upah yang dibayar bagi setiap pekerja yang mengambil purata 4.04 hari cuti sakit ialah RM294.62 setahun manakala perbelanjaan perubatan bagi setiap pekerja ialah RM511.09 setahun dan purata bayaran lebih masa bagi setiap pekerja yang mengambil alih tugas mereka yang bercuti sakit ialah RM441 setahun, jelasnya.

Kaji selidik MEF itu meliputi 35,661 pekerja dan secara purata ada 268.56 hari bekerja bagi setiap pekerja setahun.

Kaji selidik MEF bagi eksekutif melibatkan 220 syarikat anggota, yang merangkumi sejumlah 101 jawatan meliputi 11,287 eksekutif.

Dalam kaji selidik bagi bukan eksekutif, respons diperoleh daripada 40,424 bukan eksekutif 87 jawatan asas dari sektor pembuatan dan bukan pembuatan.-BERNAMA
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger