MELAKA TENGAH: Sebuah bangunan yang dulunya dirancang menjadi gelanggang badminton dan skuasy di Kampung Solok Musai, Bukit Baru, dekat sini terus terbiar sejak 20 tahun lalu dan disyaki menjadi tempat anak muda melakukan kegiatan maksiat dan aktiviti tidak bermoral, sehingga meresahkan penduduk.
Berikutan itu, pihak berkuasa dirayu memantau tempat berkenaan, sekali gus mengambil tindakan sesuai bagi memastikan masalah itu tidak terus berlarutan sehingga menjadi kudis dalam masyarakat di kampung berkenaan.
Tinjauan Berita Harian di kawasan berkenaan baru-baru ini, mendapati bangunan terbabit agak usang dan menjadi tempat beberapa barangan terbuang, sekali gus menimbulkan keadaan tidak selesa kerana ia berdekatan bangunan Perbadanan Perpustakaan Negeri Melaka (PERPUSTAM) yang sering menjadi tumpuan pelajar.
Keadaan gelanggang skuasy dan badminton di tingkat bawah bangunan tidak terurus, kelihatan berbahaya berikutan silingnya yang sudah reput, manakala di kawasan lantai pula ada sisa siling reput dipercayai sudah lama gugur, selain botol arak dan puntung rokok yang bersepah di situ.
Kewujudan sebuah tilam buruk di tingkat atas bangunan yang dipercayai digunakan penagih dadah untuk melepaskan gian atau pihak tertentu melakukan aktiviti tidak bermoral, memburukkan lagi keadaan, selain persekitarannya yang dipenuhi lalang yang tumbuh meliar.
Penduduk, Jali Dalip, 54, berkata bangunan berkenaan terbiar sejak sekian lama kerana masih ada beberapa infrastruktur yang tidak siap seperti lantai dan pintu.
"Saya tinggal di sini sejak bangunan ini belum dibina lagi dan apabila projek berkenaan berjalan dan kemudian terbengkalai, tidak ada pihak yang menguruskan tempat berkenaan atau menyelenggara, sekali gus menjadikannya seperti ‘bangunan hantu’ yang terbiar tanpa sebarang kegunaan yang boleh dimanfaatkan orang awam terutama belia di kawasan ini.
"Saya tidak pasti mengapa bangunan itu gagal disiapkan sepenuhnya, mungkin kerana ada beberapa kesulitan pihak pengurusan seperti masalah kewangan sehingga menjadi begini," katanya.
Jali berkata, gejala sosial membabitkan belia yang menjadikan bangunan usang itu sebagai lokasi mereka menagih dadah, vandalisme dan maksiat, menimbulkan perasaan tidak senang penduduk.
"Saya pernah melihat penagih dadah melepaskan gian di situ, selain ada yang menjadikannya tempat memadu asmara tanpa gangguan pihak berkuasa, manakala dindingnya pula diconteng remaja nakal.
"Masalah ini perlu ditangani segera bagi mengelak ia terus berlarutan dan mempengaruhi golongan muda lain yang melihat kejadian tidak bermoral itu berleluasa kerana kedudukannya agak tersorok daripada pandangan ramai," katanya.
Jali turut mengesahkan ada pihak dikatakan berminat membeli bangunan itu tetapi tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang.
Sementara itu, Mohd Said Isa, 40, turut berharap pihak berkuasa terbabit mengambil tindakan segera berhubung kedudukan bangunan yang sudah terbiar lama itu bagi mengelak ia terus menjadi lokasi golongan muda menjalankan aktiviti tidak sihat.
"Kami berharap tindakan dilakukan bagi mengelak tempat ini terus menjadi pusat anak muda melakukan kegiatan tak bermoral," katanya.
Home »
» Bangunan hantu dan maksiat di Melaka
Bangunan hantu dan maksiat di Melaka
Written By canang on Isnin, 10 Januari 2011 | 1/10/2011 06:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan