Home » » Belanja untuk rakyat tak mampu, tapi kroni lulus

Belanja untuk rakyat tak mampu, tapi kroni lulus

Written By canang on Rabu, 12 Januari 2011 | 1/12/2011 07:00:00 PTG

KUALA LUMPUR, 12 Jan: PAS mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya janganlah kalau untuk kepentingan rakyat umum tidak mampu tetapi untuk kepentingan kroni mampu pula diluluskan peruntukan.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad yang turut merasa hairan dengan kenyataan Najib yang mengatakan janji 100 hari Pakatan Rakyat akan membawa anak cucu merana kerana tidak ada kemampuan kewangan.

“Sepatutnya seorang Perdana Menteri mesti berfikiran positif apabila perancangan baik untuk rakyat di negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Soalnya, apakah salah apabila Pakatan Rakyat mengemukakan rancangan untuk manfaat majoriti rakyat di samping menghapuskan Felda Plantation dan membuka ladang-ladang baru kepada generasi kedua dan ketiga.

“Salahkah Pakatan Rakyat hendak menyusun kembali tol yang dianggap sebagai penyebab bebanan terpaksa ditanggung oleh rakyat dengan peningkatan kos operasi?

“Salahkah Pakatan Rakyat untuk memberi imbuhan bulanan tambahan kepada guru RM500 sebulan?” soalnya lagi.

Baginya, Najib cuba menimbulkan keraguan tentang kemampuan kewangan jika janji 100 hari dilaksanakan.

“PAS mengucap terima kasih kepada Najib kerana baru sedar tentang hal ini, kalau hendak belanja ukurlah kemampuan dahulu,” katanya sinis.

Beliau mempersoalkan adakah Najib sudah mengambil kira kemampuan kewangan negara ketika mencadang untuk membina Menara Warisan 100 tingkat.

Katanya, wang sebanyak RM5 bilion mampu membina 1,667 buah sekolah yang bernilai RM3 juta sebuah dan mampu memberi biasiswa pelajar perubatan seramai 5 ribu orang di United Kingdom dengan kos RM1 juta seorang dan boleh menampung biasiswa 10 ribu pelajar di fakulti perubatan di Mesir.

Katanya, kenapa peruntukan untuk Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang boleh dimanfaatkan hampir 3 juta di tiga negeri hanya RM178 juta iaitu 3.6% daripada kos pembinaan Menara Warisan.

“Apakah peruntukan untuk Permata yang dikendalikan oleh Datin Seri Rosmah sebanyak RM111 juta tidak membazir, sedangkan untuk Sekolah Agama Rakyat RM95 juta?” tanya beliau.

PAS, katanya merasa hairan dengan kenyataan seorang Perdana Menteri yang mengatakan negara ini akan menjadi seperti negara Greece kalau mengikut perancangan PR.

Katanya, kenyataan yang sama juga ketika PAS memerintah di Kelantan pada tahun 1990.

Ketika itu, ujarnya pemimpin Umno mendakwa PAS hanya mampu memerintah selama 3 bulan sahaja.

Dakwaan mereka itu, katanya hanya menurut kaca mata mereka yang penuh dengan rasuah, ketidak cekapan dan salah urus.

Begitu juga, tambahnya ketika kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi air percuma sebanyak 20 meter padu, pemimpin umno kata ini perbelanjaan membazir.

“Pendek kata untuk rakyat semuanya membazir, kerana bimbang apabila rakyat senang, BN tidak ada harapan untuk menjerat leher pengudi dalam setiap pilihan raya,” katanya.

PAS, jelasnya ingin menjawab keraguan Perdana Menteri yang ragu tentang daripada mana sumber yang akan PR perolehi.

“Antara sumbernya ialah kita akan memerangi rasuah yang menyebabkan wang negara hilang sebanyak RM28 bilion,” jelasnya.

Menurutnya, Pakatan Rakyat tidak akan membuat Persidangan Wanita Pertama kendalian Datin Seri Rosmah selama 3 hari hampir RM4.5 juta.

Selain itu, katanya subsidi untuk penjana kuasa bebas sebanyak RM19 bilion perlu dikaji semula kerana membebankan negara.

“PAS berkeyakinan janji 100 hari, Pakatan rakyat mampu laksanakan, berdasarkan pengalaman di Kelantan yang mampu memberi kebajikan kepada rakyat walaupun sumber yang terhad.

“Keadaan berbeza apabila Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat yang mempunyai sumber kewangan yang lebih luas untuk dijanakan bagi manfaat rakyat,” tegasnya
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger